Malaysia garang ‘sekolahkan’ Laos
Skuad Harimau Malaya meneruskan momentum pada kempen Piala ASEAN 2026 apabila membelasah Laos 4-0 pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi. Ini adalah kemenangan...
Skuad Harimau Malaya meneruskan momentum pada kempen Piala ASEAN 2026 apabila membelasah Laos 4-0 pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut anak buah Tan Cheng Hoe pada kempen kali ini selepas turut menewaskan Myanmar 2-1 pada aksi pertama di Stadium Thuwunna, Sabtu lalu.
Pada aksi terbabit, Laos menguji gawang negara seawal minit kedua menerusi percubaan Soukphachan Leaunthala yang berjaya dihalang benteng pertahanan negara.
Skuad negara beberapa kali berjaya menembusi pertahanan Laos menerusi gerakan pantas di bahagian sayap yang dikecewakan dengan hantaran lintang yang kurang kemas ke dalam kotak penalti.
Laos sekali lagi menguji gawang negara menerusi rembatan dari luar kotak penalti Vilai Koulangsy pada minit ke-24 yang ditepi Azri Ghani sebelum Azri menyelamatkan percubaan leret Xayasith Singsavang seminit berselang.
Penjaga gol Laos, Keo Oudone Souvannasangso yang cemerlang menutup pintu golnya sepanjang babak pertama akhirnya ‘bocor’ pada minit ke-45.
Bermula menerusi gerakan daripada sebelah kanan yang menemui G Pavithran di sebelah sayap kiri, pemain itu melakukan hantaran pendek sebelum ditampan masuk Josue sekali gus membolehkan Malaysia menuju ke bilik persalinan dengan 1-0.
Sejurus selepas rehat, Laos bermula garang apabila hampir mendapatkan gol penyamaan menerusi Kouaycheng Noophackde namun bola lebih pantas ‘disapu’ Azri yang keluar menyelamatkan gawangnya.
Kepantasan Pavithran di sayap kiri jelas memberikan masalah kepada Laos dan hantarannya ke dalam kotak penalti kali ini disudahkan Endrick dos Santos untuk Malaysia melebarkan jurang kepada 2-0 pada minit ke-57.
Impian Laos untuk bangkit bertambah sukar apabila mereka bolos buat kali ketiga pada minit ke-66 selepas Viengxay Sitdavong tertampan hantaran Mohamadou Sumareh ke gawang sendiri.
Malaysia terus berpesta gol apabila menambah gol keempat pada minit ke-84 selepas pemain gantian, Wan Ahmad Kuzain Wan Kamal hanya memerlukan 13 minit selepas menggantikan Endrick untuk meledak gol sulungnya bersama Harimau Malaya menerusi sepakan percuma yang terus menerjah gawang Laos.
Malaysia terlepas peluang menambah gol kelima di penghujung babak kedua selepas tampanannya yang betul-betul berada di hadapan pintu gol Laos tersasar tinggi melewati palang.
Selepas ini, juara tujuh kali, Thailand menanti mereka di Bangkok bagi aksi ketiga, 1 Ogos ini.
Kredit : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/07/1594705/malaysia-garang-sekolahkan-laos
No Comment! Be the first one.