Krisdayanti Raih Emas, Ungguli Kejohanan Wushu Kungfu 2026
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti terus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara dalam Kejohanan Kebangsaan Wushu Kungfu...
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti terus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara dalam Kejohanan Kebangsaan Wushu Kungfu 2026 yang berlangsung di Tangerang, Banten.
Artis berusia 51 tahun itu berjaya mengungguli kategori Shanzi Kumpulan E Wanita, selepas mempamerkan persembahan penuh yakin menerusi seni kipas lipat yang memukau barisan juri sepanjang pertandingan.
Krisdayanti berkongsi detik kemenangan itu menerusi akaun Instagram miliknya dengan memuat naik beberapa foto dan video sepanjang kejohanan, termasuk saat menerima pingat dan sijil penghargaan.
Menerusi perkongsian tersebut, beliau turut menjelaskan bahawa penyertaannya bukan sekadar mengejar kemenangan, malah bertujuan menyemarakkan perkembangan sukan wushu serta memberi inspirasi kepada generasi atlet baharu di Indonesia.
Menurutnya, setiap sesi latihan dan pertandingan adalah proses penting dalam membentuk disiplin, ketahanan mental serta semangat kesukanan yang tinggi.
Kejohanan yang berlangsung dari 22 hingga 26 Julai di Main Atrium Mal Alam Sutera, Tangerang, Banten itu menghimpunkan peserta dari pelbagai kategori, dengan Krisdayanti tampil cemerlang untuk membawa pulang gelaran juara.
Ini bukan kali pertama penyanyi itu mengharumkan nama negaranya dalam arena wushu. Sebelum ini, beliau turut mencipta kejayaan apabila meraih pingat perak pada Kejohanan Kungfu Dunia Ke-10 yang diadakan di Emeishan, China, sekali gus membuktikan komitmennya dalam sukan seni bela diri tersebut.
No Comment! Be the first one.