Wan Harriz Harumkan Nama Johor, Malaysia di Pentas Antarabangsa
Murid Tahun Empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), SK Tasek Utara, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara dalam Pusingan Penentuan Kelayakan (Play-Off...
Murid Tahun Empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), SK Tasek Utara, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara dalam Pusingan Penentuan Kelayakan (Play-Off Qualifier) Hippo English Without Borders 2026 yang berlangsung di Doha, Qatar. Kejayaan murid Kelas 4 Sapphire itu membolehkannya menewaskan peserta dari pelbagai negara dan melayakkan diri ke Pusingan Akhir Dunia yang akan diadakan di Spoleto, Itali pada Oktober ini. Pertandingan tersebut disertai lebih 90,000 pelajar dari lebih 70 negara.
Selain Wan Harriz, wakil Malaysia, Aaron Yung Wayze dari SJKC Sin Hwa turut mencatat prestasi cemerlang apabila dinobatkan sebagai johan Pusingan Benua Asia-Pasifik Hippo English Without Borders Ke-14 di Phuket pada 2 hingga 5 Julai 2026. Pencapaian kedua-dua pelajar ini membuktikan kemampuan generasi muda Malaysia untuk bersaing dalam pertandingan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa.
Kejayaan Wan Harriz turut mencerminkan matlamat Sekolah Rintis Bangsa Johor yang menitikberatkan penguasaan bahasa Inggeris, kemahiran komunikasi dan pembentukan murid yang berkeyakinan serta berdaya saing menerusi Teras 1. Kerajaan Johor merakamkan tahniah kepada Wan Harriz, selain menghargai peranan ibu bapa, guru dan pihak sekolah dalam menyokong kecemerlangannya. Program Hippo English Without Borders sendiri merupakan pertandingan antarabangsa bagi peserta berusia enam hingga 19 tahun yang menguji kemahiran membaca, menulis, mendengar, bertutur dan tatabahasa berdasarkan kerangka CEFR.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.