207 PPS DISEDIAKAN, JOHOR SIAP SIAGA HADAPI BANJIR
Kerajaan Negeri Johor memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang tempoh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2026...
Kerajaan Negeri Johor memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang tempoh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2026 berlangsung bagi memastikan keselamatan serta kebajikan calon terus terpelihara.
Persediaan itu dibincangkan menerusi sesi libat urus bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) yang memberi tumpuan kepada penyediaan pusat penempatan sementara (PPS), pengenalpastian calon berisiko serta penyelarasan pusat peperiksaan alternatif sekiranya berlaku bencana.
Sebanyak 207 PPS telah dikenal pasti, melibatkan 202 di Sekolah Kebangsaan (SK) dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang boleh dibuka sekiranya berlaku banjir.
Pada masa sama, JPNJ turut mengenal pasti calon yang berisiko terjejas serta lokasi alternatif peperiksaan, khususnya di daerah Tangkak, Segamat dan Kota Tinggi bagi memastikan setiap calon dapat meneruskan peperiksaan tanpa sebarang gangguan.
Kesiapsiagaan fasiliti dan kemudahan turut diberikan perhatian menerusi mesyuarat penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi memastikan segala keperluan berada dalam keadaan baik serta bersedia untuk digunakan apabila diperlukan.
Pihak sekolah juga diminta memantau keadaan setiap calon, termasuk status kediaman dan laluan perjalanan ke pusat peperiksaan, selain memperluas saluran komunikasi bersama ibu bapa bagi memastikan penyampaian maklumat dapat dilakukan dengan pantas.
JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut bersedia menyediakan bantuan serta sokongan kepada calon yang terjejas, termasuk memastikan kelancaran perjalanan mereka ke pusat peperiksaan.
Kerajaan Negeri Johor komited memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan, khususnya calon SPM dan STPM 2026 agar setiap daripada mereka berpeluang menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat, teratur dan tanpa tercicir akibat bencana banjir.
Kredit : Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.