Pelakon ‘Impian Illyana’ Lydia Ibtisam meninggal dunia
Pelakon era 2000-an, Lydia Ibtisam, 46, dilapor meninggal dunia pada Khamis selepas beberapa jam berita mengenai keadaan kesihatannya yang kritikal mendapat perhatian ramai. Pelakon yang terkenal...
Pelakon era 2000-an, Lydia Ibtisam, 46, dilapor meninggal dunia pada Khamis selepas beberapa jam berita mengenai keadaan kesihatannya yang kritikal mendapat perhatian ramai.
Pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri popular “Impian Ilyana” itu menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital pakar di ibu negara kira-kira jam 4 petang akibat komplikasi kesihatan serius.
Berita pemergian Allahyarham disahkan sahabatnya yang juga pelakon, Mimi Ernida menerusi satu hantaran di aplikasi Threads pada petang Khamis.
“Assalamualaikum… Nur Ibtisam binti Abdul Wahab (Lydia Ibtisam) baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Al-Fatihah,” tulis Mimi.
Rakan baik Allahyarham yang juga penyanyi, Elliza Razak turut mengesahkan berita itu dan memohon orang ramai menitipkan doa serta sedekah bacaan al-Fatihah buat Allahyarham.
Sebelum ini, Elliza berkongsi bahawa Lydia berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa menjalani prosedur pembedahan segera selepas penyakit autoimun yang dihidapinya sejak lapan tahun lalu menjadi semakin agresif.
Komplikasi penyakit itu dilapor menyerang buah pinggang, selain Allahyarham berdepan jangkitan kuman serta serangan virus pada bahagian perut, paru-paru dan aliran darah.
Jenazah Allahyarham difahamkan akan dibawa pulang ke kampung halamannya untuk diuruskan di Masjid Jamek Hashim Yahya, George Town, Pulau Pinang malam ini sebelum dikebumikan.
Sepanjang penglibatannya dalam industri seni tanah air, Allahyarham meninggalkan impak menerusi beberapa karya televisyen popular termasuk “Dunia Anita”, “Realiti” dan “Natasha”.
Allahyarham Lydia meninggalkan suami, Ezam Merican, serta dua cahaya mata.
Sumber Berita : https://www.astroawani.com/hiburan/pelakon-impian-illyana-lydia-ibtisam-meninggal-dunia
No Comment! Be the first one.