Gempa 7.9 Magnitud di Mindanao Cetus Amaran Tsunami Untuk Pantai Timur Sabah
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran tsunami untuk beberapa kawasan pesisir pantai di Sabah susulan gempa bumi kuat yang berlaku di luar pantai Mindanao, Filipina pada jam...
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran tsunami untuk beberapa kawasan pesisir pantai di Sabah susulan gempa bumi kuat yang berlaku di luar pantai Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi tadi. Gempa berukuran 7.9 magnitud itu dikesan pada kedudukan 5.7 darjah Utara dan 125.1 darjah Timur, kira-kira 747 kilometer di timur Semporna, Sabah dengan kedalaman 50 kilometer. Berdasarkan penilaian semasa, ombak tsunami dijangka tiba di kawasan pantai Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, siren nasihat tsunami telah diaktifkan di keempat-empat daerah terbabit sebagai langkah berjaga-jaga serta amaran awal kepada penduduk. Beliau memaklumkan ketinggian ombak yang dijangka melanda kawasan berkenaan adalah sekitar 0.4 meter dan menggesa orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa serta menjauhi kawasan pantai sepanjang tempoh amaran dikeluarkan demi keselamatan diri dan keluarga.
Dalam perkembangan berkaitan, gempa bumi kuat yang melanda selatan Filipina dilaporkan telah menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut selain mengakibatkan kerosakan besar terhadap beberapa struktur bangunan. Pihak berkuasa Filipina memaklumkan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan di kawasan terjejas, manakala Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa itu berlaku pada kedalaman kira-kira 35 kilometer berhampiran wilayah Sarangani di Mindanao.
Foto kredit: Bernama.com
No Comment! Be the first one.