Air Mata Iringi Perpisahan Messi Bersama Argentina
Lionel Messi melabuhkan tirai karier antarabangsa selama 21 tahun pada Selasa, mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Argentina dalam penampilan terakhirnya bersama juara dunia itu di Buenos...
Lionel Messi melabuhkan tirai karier antarabangsa selama 21 tahun pada Selasa, mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Argentina dalam penampilan terakhirnya bersama juara dunia itu di Buenos Aires.
Dalam penamat yang cukup sempurna, pemain berusia 39 tahun yang dianggap antara pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman itu meledak gol antarabangsa ke-126 di hadapan 85,000 penyokong ketika Argentina menewaskan Benin 3-0.
Messi, yang mencatat penampilan antarabangsa ke-208 sekali gus melanjutkan rekodnya, turut mencipta bantuan gol untuk jaringan pembukaan Nicolas Otamendi sebelum Nico Paz menambah satu lagi gol.
Bagaimanapun, keputusan perlawanan bukan perkara utama kerana perhatian lebih tertumpu kepada detik perpisahan Messi dengan penyokong di Stadium Monumental, yang sebelum ini digelar sebagai persembahan terakhir legenda itu, ‘Tango Terakhir’.
“Menjadi satu kebanggaan besar buat saya untuk mempertahankan jersi ini selama lebih 20 tahun,” kata Messi ketika menyampaikan ucapan kepada penyokong selepas perlawanan.
“Tidak datang lagi akan menjadi sesuatu yang amat menyakitkan. Saya bersumpah saya mahu bermain sepanjang hayat kerana mewakili pasukan kebangsaan Argentina adalah perkara paling indah yang boleh berlaku kepada seseorang.”
Namun, Messi berkata beliau tidak menyesali keputusan untuk bersara daripada pentas antarabangsa, termasuk mengambil kira kempen Piala Dunia yang amat mencabar ketika bapanya sedang sakit tenat.
“Walaupun saya mahu berada di sini sepanjang hayat, saya rasa inilah masanya. Piala Dunia terakhir terlalu berat, segala yang perlu saya lalui ketika itu,” katanya.
Sebelum perlawanan, Messi dilihat menyeka air mata ketika bas yang membawanya bersama rakan sepasukan Argentina bergerak menuju stadium, diiringi sorakan dan sambutan penyokong.
Messi turut masuk ke padang bersama tiga anaknya, manakala isterinya, Antonela Roccuzzo, dan ibunya, Celia Cuccittini, menyaksikan detik berkenaan dari tempat duduk khas sambil melambaikan tangan kepadanya.
Tidak lama sebelum sepak mula, jersi gergasi Argentina dengan tulisan “Gracias” (Terima Kasih) di atas nombor 10 milik Messi dibentangkan di tengah padang, disambut sorakan gemuruh penyokong.
Emosi Messi kembali terserlah apabila veteran Perang Falklands, Fabio Santana, menyanyikan lagu kebangsaan Argentina di sebelah sepanduk bertulis “Malvinas milik Argentina”, sepanduk sama yang diangkat pemain selepas kemenangan 2-1 ke atas England pada separuh akhir Piala Dunia.
Perlawanan dihentikan pada minit ke-10 sebagai penghormatan kepada nombor jersi keramat Messi, dengan penyokong memberikan tepukan gemuruh selama seminit kepada bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu.
Messi kemudian melengkapkan malam penuh bersejarah itu dengan menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-71.
Kredit Sumber : Air mata iringi perpisahan Messi bersama Argentina
No Comment! Be the first one.