Angelina Jolie Sorot Kemusnahan Di Gaza Menerusi Imej Satelit
Pelakon Angelina Jolie, yang pernah berkhidmat sebagai utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengetengahkan skala kemusnahan di Semenanjung Gaza dengan berkongsi imej satelit sebelum...
Pelakon Angelina Jolie, yang pernah berkhidmat sebagai utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengetengahkan skala kemusnahan di Semenanjung Gaza dengan berkongsi imej satelit sebelum dan selepas yang menunjukkan kerosakan meluas akibat genosid Israel di wilayah Palestin itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Anda kini boleh membuka Google Earth dan melihat apa yang telah dilakukan terhadap Gaza,” tulis Jolie menerusi Instagram pada Sabtu, bersama imej yang membandingkan beberapa kawasan di Gaza sebelum perang dengan keadaannya pada musim panas tahun ini.
Imej berkenaan menunjukkan kawasan berhampiran Sekolah Al-Qadisiyah di bandar Rafah, Khan Younis di selatan Gaza dan Jalan Omar Mukhtar di Bandar Gaza, dengan sebahagian besar kawasan bandar yang sebelum ini padat kini musnah.
“Seluruh kawasan kejiranan telah menjadi runtuhan,” kata Jolie sambil menambah rumah, sekolah, universiti, hospital, jalan raya, sistem bekalan air dan sanitasi serta infrastruktur lain mengalami kerosakan atau musnah.
Memetik analisis satelit PBB, Jolie berkata setakat Jun, 82 peratus struktur di Gaza mengalami kerosakan dan kira-kira dua pertiga daripada struktur yang rosak dinilai sebagai musnah.
Beliau turut memetik angka kemanusiaan yang menunjukkan 1.98 juta penduduk atau 94 peratus daripada populasi Gaza memerlukan bantuan tempat perlindungan dan barangan keperluan asas menjelang musim sejuk.
Kredit : Astro Awani
No Comment! Be the first one.