Permohonan Sijil Halal Johor Melonjak, 607 Permohonan Baharu Direkodkan
Minat usahawan di Johor untuk memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) menunjukkan peningkatan positif apabila sebanyak 607 permohonan baharu direkodkan sehingga September 2026. Jumlah ini...
Minat usahawan di Johor untuk memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) menunjukkan peningkatan positif apabila sebanyak 607 permohonan baharu direkodkan sehingga September 2026. Jumlah ini melonjak berbanding 561 permohonan pada tahun 2025 dan 133 permohonan pada 2024, sekali gus mencerminkan kesedaran serta penglibatan yang semakin tinggi dalam ekosistem halal negeri. Perkembangan ini menjadi tumpuan utama dalam Mesyuarat Majlis Halal Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid.
Sehingga Jun 2026, Johor mencatatkan 1,743 pemegang SPHM aktif dan berada di kedudukan kedua nasional bagi pelaburan halal yang diluluskan dengan nilai RM790.91 juta merangkumi 27 projek. Usaha memperkukuh ekosistem ini disokong oleh kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti JAKIM, JAINJ, MAINJ, Perbadanan Kemajuan Halal Johor (JHDC), pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi (IPT), serta pemain industri.
Pembangunan ekosistem halal di Johor merangkumi pemerkasaan usahawan, bakat TVET halal, logistik halal, serta peluasan akses pasaran bagi meningkatkan daya saing industri tempatan. Menerusi Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030), Kerajaan Negeri komited untuk terus meluaskan akses pensijilan, menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, dan mengangkat produk halal Johor ke peringkat yang lebih tinggi.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.