Penentuan Ke Final: Harimau Malaya Sedia Depani Singapura di Bandung
Misi Harimau Malaya ke final Piala ASEAN FIFA 2026 kini memasuki fasa penentuan apabila bakal menentang Singapura dalam aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung....
Misi Harimau Malaya ke final Piala ASEAN FIFA 2026 kini memasuki fasa penentuan apabila bakal menentang Singapura dalam aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung. Pengendali sementara skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, yakin barisan pemainnya bersedia menghadapi ujian getir ini walaupun berdepan cabaran tempoh pemulihan yang singkat serta perjalanan dari Jakarta ke Bandung. Pengalaman dan keyakinan daripada dua perlawanan awal, termasuk keputusan seri 0-0 menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), menjadi bekalan penting buat pasukan.
Aspek pemulihan dan pengurusan kecergasan menjadi keutamaan barisan kejurulatihan sebelum menentukan kesebelasan utama bagi menghadapi persaingan sengit dalam ‘derbi Causeway’ itu. Mengulas kelebihan persefahaman dalam kalangan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Cheng Hoe mengakui chemistry mereka memberi kelebihan, namun menegaskan kejayaan skuad kebangsaan tetap bergantung kepada kekuatan serta persembahan secara kolektif sebagai satu pasukan.
Malaysia kini memimpin Kumpulan A dengan empat mata, mengatasi Indonesia menerusi perbezaan gol, manakala Singapura mengekor rapat dengan tiga mata. Dengan hanya juara kumpulan akan mara ke perlawanan akhir dan naib juara beraksi dalam penentuan tempat ketiga di GBK Isnin depan, pertembungan menentang Singapura bakal menjadi pelengkap misi menentukan nasib Harimau Malaya di pentas kejohanan.
Foto Kredit: Berita Harian
No Comment! Be the first one.