Hamilton Gesa Israel Benarkan Bantuan Masuk Gaza
Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton menggesa Israel membenarkan trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza selepas menyaksikan sendiri situasi penghantaran bekalan yang berdepan...
Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton menggesa Israel membenarkan trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza selepas menyaksikan sendiri situasi penghantaran bekalan yang berdepan kelewatan di sempadan Rafah, Mesir.
Pemandu Ferrari itu membuat gesaan berkenaan selepas mengunjungi kawasan sempadan Rafah pada Selasa lalu, selain diberi taklimat mengenai proses penyediaan dan penyelarasan bantuan sebelum dihantar ke Gaza.
Lawatan berkenaan turut merangkumi kunjungan ke gudang bantuan Bulan Sabit Merah Mesir di El Arish, lokasi bekalan kemanusiaan dikumpulkan sebelum disalurkan kepada penduduk Palestin.
Menerusi perkongsian di Instagram, Hamilton menyifatkan penderitaan rakyat Gaza sejak tiga tahun lalu sebagai sesuatu yang amat menyedihkan, selain mengecam layanan tidak adil terhadap penduduk awam.
“Ia satu ketidakadilan apabila rakyat dinafikan kebebasan, keselamatan dan maruah mereka. Tiada manusia patut dilayan seolah-olah nyawa mereka kurang bernilai,” katanya.
Israel bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan melakukan genosid dan menegaskan operasi ketenteraannya di Gaza menyasarkan kumpulan pejuang Hamas.
Hamilton berkata, beliau melihat trak membawa bekalan makanan sudah berbaris dan bersedia untuk memasuki Gaza, namun penghantarannya sering tertangguh atau berdepan pelbagai halangan.
Lebih mengecewakan, katanya, beberapa barangan keperluan termasuk kit pertolongan cemas, peralatan perubatan, kerusi roda serta bola sepak untuk kanak-kanak turut ditolak atas alasan yang disifatkannya tidak munasabah.
“Israel perlu memenuhi tanggungjawabnya di bawah perjanjian gencatan senjata dan membenarkan trak bantuan memasuki Gaza. Tiada alasan untuk menghalangnya.
“Saya tidak mahu kita terbiasa melihat penderitaan mereka. Saya juga tidak mahu kita berpaling daripada situasi ini,” katanya.
Hamilton, 41, sememangnya dikenali sebagai atlet yang lantang memperjuangkan isu kemanusiaan.
Pada 2021, beliau menubuhkan badan kebajikan Mission 44 bagi membantu golongan muda mendapatkan akses lebih baik kepada pendidikan dan peluang pekerjaan.
No Comment! Be the first one.