Heritage Valley KL Jana RM4.6 Juta, Bantu Lebih 500 Usahawan
Heritage Valley Kuala Lumpur di bawah inisiatif Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) oleh UDA Holdings Berhad berjaya menjana jualan terkumpul melebihi RM4.6 juta dan membantu lebih 500 usahawan dari...
Heritage Valley Kuala Lumpur di bawah inisiatif Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) oleh UDA Holdings Berhad berjaya menjana jualan terkumpul melebihi RM4.6 juta dan membantu lebih 500 usahawan dari Ogos 2025 hingga Ogos 2026. Merasmikan hab di Jalan Doraisamy itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong, menegaskan bahawa perancangan ini bertujuan menyediakan ruang niaga di lokasi strategik bandar pada kadar berpatutan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Hab seluas 1.71 ekar ini menempatkan 26 usahawan tetap serta menarik lebih 100,000 pengunjung menerusi pelbagai acara komuniti. Bagi fasa seterusnya, Heritage Valley bakal menambah 14 pop-up store untuk menjadikan 40 lot niaga dengan sasaran jualan tahunan melebihi RM6.5 juta. Ketua Pegawai Eksekutif UDA, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali, menambah bahawa fokus projek ini adalah untuk membimbing usahawan membina perniagaan mampan serta memperluas manfaat menerusi pembukaan kiosk baharu.
Secara keseluruhan, projek MEH di Kuala Lumpur, Melaka (Morten Walk), dan Johor (Santai Camp) telah memberi manfaat kepada 611 usahawan dengan jualan terkumpul mencecah RM7.75 juta setakat Ogos 2026. UDA turut memperluas rangkaian inisiatif ini menerusi pembangunan sebuah lagi hab baharu di Kundasang, Sabah.
No Comment! Be the first one.