Belanjawan 2027 Ringankan Beban Peminjam PTPTN
Inisiatif penangguhan dan kelonggaran bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Belanjawan 2027 disambut baik oleh peminjam, khususnya golongan berpendapatan rendah...
Inisiatif penangguhan dan kelonggaran bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Belanjawan 2027 disambut baik oleh peminjam, khususnya golongan berpendapatan rendah dan graduan baharu. Petugas Pereka Grafik FINAS, Hafizul Fiqri Mazlan, 41, yang telah melunaskan pinjamannya pada 2019, menyifatkan inisiatif itu sebagai peluang untuk membantu peminjam mengurus kewangan dengan lebih baik. Beliau turut menggalakkan peminjam memanfaatkan kemudahan tersebut sambil menunaikan tanggungjawab membayar semula pinjaman pendidikan.
Konsultan keselamatan siber, Jeremiah Abraham Selvaraj, 43, pula menyifatkan pinjaman PTPTN sebagai bantuan penting yang membolehkannya menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik di Monash University Malaysia. Menurutnya, penangguhan bayaran bagi peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan serta bayaran minimum RM50 bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 mampu meringankan beban graduan baharu. Sementara itu, pegawai khidmat pelanggan, Carol Chan, 24, berkata kemudahan tersebut memberi ruang kepada golongan muda untuk menstabilkan kewangan dan perbelanjaan harian selepas mula bekerja.
Eksekutif pemasaran, Fatin Yusoff, 36, turut menyambut baik tawaran diskaun 10 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran balik secara teratur tanpa tunggakan. Beliau menyifatkan insentif itu sebagai penghargaan terhadap komitmen peminjam serta dorongan untuk mengekalkan disiplin kewangan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu, mengumumkan langkah berkenaan bagi membantu peminjam mengikut tahap pendapatan masing-masing, sekali gus memberi ruang kepada mereka mengurus komitmen kewangan dengan lebih teratur.
Kredit: Berita Harian
No Comment! Be the first one.