TASKA di Johor Beroperasi Seperti Biasa, PDK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Ditutup Susulan Jerebu
Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh Johor akan terus beroperasi seperti biasa, manakala operasi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditutup selama lima...
Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh Johor akan terus beroperasi seperti biasa, manakala operasi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditutup selama lima hari bermula hari ini hingga 23 Oktober 2026. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, YB Puan Hasrunizah Hassan menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat susulan penutupan sekolah akibat jerebu demi memelihara kesihatan dan keselamatan kanak-kanak.
Bagi TASKA yang kekal beroperasi, sebarang aktiviti luar hendaklah dihentikan serta-merta bagi mengelakkan pendedahan kepada udara tidak sihat, manakala penutupan penuh perlu dilaksanakan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200 ke atas. Sebaliknya, penutupan lima hari bagi PDK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak dilaksanakan secara menyeluruh sebagai langkah berjaga-jaga yang selaras dengan situasi kualiti udara semasa.
Ibu bapa dan pengusaha premis turut dianjurkan supaya sentiasa memantau kesihatan kanak-kanak, memastikan hidrasi yang mencukupi, serta mendapatkan rawatan segera jika timbul gejala kesihatan akibat jerebu. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan akan terus memantau bacaan IPU secara berterusan bagi menyalurkan maklumat atau arahan susulan mengikut perkembangan situasi semasa.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.