
Johor Bahru: Pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) & Bubbles O2 Man of the Match Piala Malaysia 2026, Arif Aiman Hanapi, menamatkan teka-teki apabila selamat mendirikan rumah tangga bersama insan pilihannya, Nurul Aliah Natasha dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung hari Isninbaru-baru ini.
Difahamkan, majlis bersejarah pasangan tersebut diadakan secara tertutup di Johor Bahru dalam suasana sederhana tetapi penuh bermakna, dengan kehadiran ahli keluarga serta sahabat terdekat kedua-dua belah pihak.
Khabar gembira mengenai perkahwinan pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu pantas menjadi perhatian selepas beberapa rakaman video dan foto majlis mula tersebar di media sosial, menerusi perkongsian yang tular, pasangan mempelai tampil serasi mengenakan persalinan rona putih sedondon yang menyerlahkan penampilan elegan dan berseri pada hari bahagia mereka.
Lebih mencuri perhatian, Arif dilihat gagal menyembunyikan rasa sebak sejurus selesai melafazkan akad nikah apabila memeluk ibunya dalam satu momen penuh emosi yang menyentuh hati ramai.
Perkongsian detik istimewa itu terus menerima perhatian warga maya dengan ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah dan doa agar pasangan pengantin baharu tersebut dikurniakan kebahagiaan hingga ke akhir hayat.
Majlis resepsi pasangan itu dijangka berlangsung pada sebelah malam dalam suasana lebih meriah, termasuk dijadual menerima kehadiran tetamu kehormat antaranya Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail.
Sebagai antara tonggak utama JDT dan skuad kebangsaan, Arif terus menerima limpahan ucapan daripada para peminat yang menzahirkan rasa gembira melihat pemain muda itu membuka lembaran baharu dalam kehidupan peribadinya.
No Comment! Be the first one.