Perjalanan menuju kejayaan akhirnya menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City di pentas final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. Kedua-dua pasukan hadir selepas melalui musim terbaik masing-masing dengan misi menutup kempen 2025/26 penuh bergaya menerusi kejuaraan terakhir musim ini.
JDT sekali lagi membuktikan dominasi mereka apabila mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah, menjulang Piala FA dan mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut selain mencipta rekod tanpa kalah. Harimau Selatan turut melakar sejarah di pentas Asia apabila menjadi kelab Malaysia pertama mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Dalam masa sama, Kuching City tampil sebagai pencabar mengejut musim ini apabila muncul naib juara Liga Super dan layak ke final Piala Malaysia buat kali pertama di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak. Walaupun dianggap ‘underdog’, The Cats percaya mereka mampu mencipta kejutan seperti yang pernah dilakukan Kuala Lumpur City ke atas JDT pada final 2021, sekali gus menghadiahkan trofi sulung buat kelab dari Sarawak itu.
Kredit gambar: Stadium Astro
No Comment! Be the first one.