6,110 Menerima Bantuan PKJ Fasa 6, Penyerahan Berlangsung 10 Oktober Ini
Seramai 6,110 penerima Bantuan Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 6 bakal menerima manfaat menerusi majlis penyerahan yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober ini di Stadium Tertutup Arena Larkin,...
Seramai 6,110 penerima Bantuan Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 6 bakal menerima manfaat menerusi majlis penyerahan yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober ini di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, memaklumkan bahawa fasa keenam ini melibatkan peruntukan sebanyak RM24.2 juta. Bantuan berkenaan merangkumi tiga kategori utama, iaitu 3,700 penerima Bantuan Beli Rumah Pertama, 620 penerima Bantuan Masuk Rumah Pertama, dan 1,790 penerima Bantuan Sewa Rumah.
Pemohon yang berjaya akan menerima makluman rasmi melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) berdasarkan maklumat pendaftaran asal. Bagi memastikan tiada makluman yang terlepas, penerima dinasihatkan menyemak ruangan Spam atau Junk pada e-mel masing-masing selain merujuk saluran rasmi PKPJ untuk pengesahan keputusan. Pelaksanaan Fasa 6 ini membawa jumlah keseluruhan peruntukan PKJ oleh Kerajaan Negeri kepada RM84.19 juta yang telah memberi manfaat kepada 21,236 penerima secara keseluruhan.
Inisiatif berterusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam meringankan beban rakyat berkaitan keperluan kediaman menerusi pelbagai program seperti Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Rumah Kasih Johor (RKJ), dan Rumah Prihatin Johor (RPJ). Bagi memperluas bantuan pada masa hadapan, Kerajaan Negeri turut merancang memperkenalkan Bantuan Deposit Sewa Rumah Bangsa Johor bernilai RM1,000 pada tahun hadapan khusus untuk membantu individu yang berdepan kekangan modal deposit sewaan.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.