Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu Terus Tarik Pelancong
Inisiatif Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan seramai 15,188 pengunjung bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, meningkat lebih dua kali...
Inisiatif Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan seramai 15,188 pengunjung bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 6,256 pengunjung dalam tempoh sama tahun lalu. Selaras dengan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, destinasi ini kini diperkasakan menerusi penambahbaikan kemudahan serta pengalaman pelancongan yang lebih selesa dan menarik.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk Laman Budaya, kiosk jualan, kawasan jeti, tempat letak kenderaan dan perkhidmatan buggy, selain mengekalkan keunikan alam semula jadi serta kehidupan komuniti setempat. Pengunjung turut berpeluang menikmati keindahan Sungai Melayu melalui dua pilihan pengalaman iaitu Boat Tour menggunakan bot kecil dan River Cruise menggunakan bot yang lebih besar. Tiket bagi warganegara berharga RM35 dewasa dan RM18 kanak-kanak untuk Boat Tour, manakala River Cruise pula RM45 dewasa dan RM22 kanak-kanak. Bagi bukan warganegara, harga Boat Tour ialah RM60 dewasa dan RM35 kanak-kanak, dengan operasi dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari kecuali Jumaat.
Usaha memperkasa destinasi ini turut selari dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 dalam mengetengahkan khazanah alam, budaya dan kehidupan komuniti setempat. Kerajaan Negeri berharap Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu terus menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, di samping memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat. Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, telah mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan di Iskandar Puteri bagi meninjau perkembangan serta kemudahan yang disediakan.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.