Kebakaran Tanah Gambut Pengerang: Orang Ramai Diingat Henti Pembakaran Terbuka
Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka memandangkan cuaca panas, kering, dan berangin ketika ini berisiko menyebabkan api merebak pantas serta mengancam keselamatan dan alam...
Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka memandangkan cuaca panas, kering, dan berangin ketika ini berisiko menyebabkan api merebak pantas serta mengancam keselamatan dan alam sekitar. Peringatan ini disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Ling Tian Soon, berikutan insiden kebakaran tanah gambut seluas 51.4 hektar di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove, Pengerang yang dilaporkan pada 24 Ogos lalu.
Operasi pemadaman secara 24 jam kini diteruskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor bersama pelbagai agensi seperti APM, MPP, dan Ranhill SAJ. Setakat ini, sebanyak 25 hektar (48.6%) kawasan terjejas telah berjaya dipadamkan, merangkumi 10 hektar di Sektor A dan 15 hektar di Sektor B. Pasukan penyelamat berdepan cabaran genting seperti laluan sukar, angin kencang yang menyebarkan bara di dalam tanah gambut, serta sumber air yang terhad, namun pemantauan berterusan tetap dijalankan termasuk menggunakan dron.
Sementara itu, pengguna jalan raya di lokasi terbabit dinasihatkan agar memandu dengan berhati-hati berikutan risiko jarak penglihatan terjejas akibat kepulan asap. Kerajaan Negeri bersama pihak JBPM akan terus mempertingkatkan pemantauan di kawasan sekitar, manakala orang awam diminta segera melaporkan sebarang insiden kebakaran atau asap mencurigakan menerusi talian 999 atau balai bomba berhampiran.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.