Ziana Zain sebak terima gelaran Datuk, terkenang arwah ibu bapa
Di sebalik senyuman menerima pengiktirafan selepas lebih tiga dekad mewarnai industri seni, penyanyi Datuk Ziana Zain menyimpan sebak apabila mengenangkan ibu bapanya yang sudah tiada untuk...
Di sebalik senyuman menerima pengiktirafan selepas lebih tiga dekad mewarnai industri seni, penyanyi Datuk Ziana Zain menyimpan sebak apabila mengenangkan ibu bapanya yang sudah tiada untuk menyaksikan detik bersejarah itu.
Ziana, 58, mengakui anugerah diterimanya bukan sekadar pengiktirafan ke atas lebih 30 tahun pembabitannya dalam bidang seni, malah cukup bermakna kerana datang dari negeri kelahirannya, Melaka.
“Syukur Alhamdulillah, rezeki Allah bagi. Selepas lebih 30 tahun saya berjuang dalam bidang seni ini, sekurang-kurangnya kita diiktiraf, malah dari tempat kelahiran kita sendiri.
“Saya sangat berbesar hati, sangat berbangga dan bersyukur. Anugerah ini bukan menentukan bakti, tetapi bagi saya apa yang saya lakukan adalah tanggungjawab kepada peminat.
“Tapi saya rasa sedih juga kerana kedua-dua ibu bapa saya tidak dapat melihat detik ini, itu yang saya rasa sedih,” katanya.
Ziana anak kelahiran Merlimau, Melaka ditemui selepas menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Istiadat berkenaan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengiringi beliau adalah adiknya, Anuar Zain.
Ziana berkata, Melaka sentiasa dekat di hatinya dan akan terus dibawa ke mana sahaja, malah tidak pernah berasa malu untuk memperkenalkan dirinya sebagai anak kelahiran negeri bersejarah itu.
Kredit : Harian Metro
No Comment! Be the first one.