Anugerah MVP suntik semangat Afiq Fazail
Pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-2026, Afiq Fazail mengakui terkejut apabila dinobatkan sebagai penerima gelaran itu pada Majlis Liga M Awards, malam...
Pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-2026, Afiq Fazail mengakui terkejut apabila dinobatkan sebagai penerima gelaran itu pada Majlis Liga M Awards, malam ini.
Tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) menganggap kejayaan memenangi anugerah tertinggi itu sebagai rezeki buat isteri dan anaknya.
Pemain berusia 32 tahun itu turut menganggap pengiktirafan itu menjadi motivasi buat dirinya untuk terus menampilkan prestasi terbaik bersama Harimau Selatan pada musim akan datang.
“Saya pun terkejut dapat MVP kali ni. Terima kasih kepada semua rakan sepasukan, kalau tiada mereka, benda ini (memenangi anugerah MVP) susah nak jadi.
“Saya rasa ini juga rezeki untuk isteri dan anak-anak saya. Apa pun anugerah ini adalah salah satu suntikan semangat untuk saya lakukan yang lagi baik untuk musim akan mendatang,” katanya.
Afiq merampas gelaran itu daripada rakan sepasukannya, Arif Aiman Hanapi yang sebelum ini mencipta sejarah mempertahan anugerah MVP empat kali berturut-turut.
Arif bagaimanapun tidak tercalon dalam Liga M Awards kali ini selepas terlepas banyak aksi musim lalu kerana masalah kecederaan.
Terdahulu Afiq diumumkan sebagai pemenang Pemain Tengah Terbaik mengatasi Danial Amier Norhisham (Kuching City FC) dan Nooa Laine (Selangor FC), sekali gus menjadi gelaran ketiganya bagi kategori itu selepas musim 2022 dan 2023.
Sumber : Berita Harian
No Comment! Be the first one.