Johor Bahru, Kulai Jadi Fokus Usaha Bendung Denggi
ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 96 program gotong-royong akan diadakan di daerah Johor Bahru dan Kulai mulai pertengahan Ogos ini sebagai usaha segera menangani peningkatan kes demam denggi. Langkah itu...
ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 96 program gotong-royong akan diadakan di daerah Johor Bahru dan Kulai mulai pertengahan Ogos ini sebagai usaha segera menangani peningkatan kes demam denggi. Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan yang melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pejabat Kesihatan Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan bagi memperkemas tindakan kawalan denggi di negeri itu.
Johor merekodkan 3,930 kes demam denggi dalam tempoh sama tahun lalu, namun angka berkenaan melonjak kepada 7,235 kes setakat awal Ogos tahun ini, meningkat 84.1 peratus. Daripada jumlah tersebut, hampir 90 peratus kes dilaporkan di Johor Bahru dan Kulai, menjadikan kedua-dua daerah itu sebagai kawasan utama yang diberi perhatian. Aktiviti gotong-royong akan memfokuskan kepada pemusnahan lokasi pembiakan nyamuk Aedes, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Pada masa sama, masyarakat diminta bersama-sama membantu usaha pencegahan dengan memastikan kawasan kediaman sentiasa bersih serta tidak mempunyai bekas atau kawasan yang menakung air. Kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti diharap dapat membendung penularan denggi serta mengurangkan jumlah kes di negeri ini. Mesyuarat penyelarasan berkenaan dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Ling Tian Soon, bagi memperkukuh kesiapsiagaan semua pihak dalam menghadapi peningkatan kes berkenaan.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.