Fenomena Kubah Haba: 10 Negara Arab Berdepan Gelombang Haba Melampau
Sekurang-kurangnya 10 negara Arab kini berdepan gelombang haba melampau berikutan pembentukan fenomena ‘kubah haba’ (heat dome) yang memerangkap udara panas di rantau Asia Barat. Suhu di...
Sekurang-kurangnya 10 negara Arab kini berdepan gelombang haba melampau berikutan pembentukan fenomena ‘kubah haba’ (heat dome) yang memerangkap udara panas di rantau Asia Barat. Suhu di beberapa kawasan Teluk seperti Kuwait, timur Arab Saudi, pedalaman Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Baghdad diramal menghampiri atau melebihi 50°C sepanjang minggu pertama Ogos. Malah, Al Shawamekh di Abu Dhabi telah merekodkan bacaan melebihi 50°C pada 1 Ogos lalu, menandakan fasa puncak musim panas yang dijangka berlarutan sehingga akhir bulan ini.
Pihak berkuasa meteorologi serantau memaklumkan bahawa suhu tinggi ini turut disertai cuaca kering di kebanyakan wilayah seperti Arab Saudi yang dijangka mencatat suhu sehingga 2.5°C lebih tinggi berbanding purata bulanan. Walau bagaimanapun, beberapa kawasan bergunung dan wilayah timur seperti di UAE dijangka menerima kelegaan sementara menerusi pembentukan awan serta hujan bermusim. Situasi ekstrem ini bagaimanapun dijangka beransur berubah bermula September dengan ramalan peningkatan taburan hujan yang lebih meluas.
Fenomena cuaca melampau di Asia Barat ini mencerminkan kesan perubahan iklim global yang semakin nyata, sejajar dengan kejadian kebakaran hutan dan gelombang haba teruk yang turut melanda beberapa negara Eropah baru-baru ini. Ekoran risiko kesihatan serta ancaman cuaca terik ini, orang ramai dan pihak berkuasa dinasihatkan supaya sentiasa mengurangkan aktiviti luar pada waktu puncak, kekal berhidrasi, dan peka terhadap amaran cuaca semasa.
Foto kredit: Berita Harian
No Comment! Be the first one.