Johor Cuti Peristiwa Isnin 13 Julai 2026
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan dan keizinan Allah SWT. Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Salam...
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan dan keizinan Allah SWT.
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Maju Johor
Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan Baginda terhadap lantikan patik sebagai Menteri Besar Johor.
Patik juga dengan penuh takzim merafakkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas limpah perkenan serta kepercayaan yang diberikan kepada patik untuk terus memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor. Patik akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor.
Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor. Justeru, saya berdoa agar Allah SWT terus membimbing setiap langkah, mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta menetapkan hati saya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab ini.
Pada masa sama, suka saya kongsikan, atas limpah perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan hari Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor. Pengisytiharan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16.
Akhir sekali, saya memohon doa daripada seluruh Bangsa Johor agar Allah SWT terus memimpin dan mempermudahkan segala urusan kami. Semoga setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti. Semoga setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan-Nya. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor
No Comment! Be the first one.