Hasrat Lee Zii Jia Ke Suku Akhir Tidak Kesampaian
Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia gagal meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Terbuka Amerika Syarikat selepas tersingkir pada pusingan kedua kejohanan yang berlangsung...
Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia gagal meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Terbuka Amerika Syarikat selepas tersingkir pada pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Gimnasium Tytan, Universiti Negeri California, Fullerton. Bekas pemain nombor dua dunia itu tewas kepada wakil India, K Srikanth dengan keputusan 14-21, 13-21 dalam tempoh hanya 28 minit.
Kekalahan itu bermakna Zii Jia masih belum berjaya menamatkan kemarau penampilan di suku akhir sejak kali terakhir melakukannya pada kejohanan Thailand Masters pada Januari lalu. Selepas itu, prestasinya dilihat kurang konsisten apabila gagal melepasi peringkat awal dalam beberapa kejohanan termasuk Terbuka Switzerland, Masters Orleans, Terbuka Thailand, Terbuka Australia dan Terbuka Macau. Namun, di Terbuka AS, beliau sempat mencatat kemenangan ke atas pemain Vietnam, Nguyen Ha Dang pada aksi pembukaan.
Menerusi perkongsian di media sosial Team LZJ, Zii Jia menyifatkan keputusan tersebut sebagai sebahagian daripada proses untuk mendapatkan semula kecergasan dan rentak permainan terbaiknya. Beliau dijadualkan sekali lagi berdepan Srikanth pada pusingan pertama Terbuka Kanada minggu depan. Dalam pada itu, seorang lagi pemain profesional negara, Cheam June Wei turut menamatkan cabaran di pusingan kedua selepas tewas kepada wakil Israel, Misha Zilberman dengan keputusan 15-21, 19-21.
Foto Kredit: Berita Harian
No Comment! Be the first one.