Harga Minyak Runcit Catat Penurunan, Diesel Turun 30 Sen
Harga runcit bahan api di Semenanjung mencatatkan penurunan bermula hari ini hingga 30 Jun apabila diesel dijual pada RM4.07 seliter, berkurang 30 sen berbanding minggu sebelumnya. Dalam tempoh sama,...
Harga runcit bahan api di Semenanjung mencatatkan penurunan bermula hari ini hingga 30 Jun apabila diesel dijual pada RM4.07 seliter, berkurang 30 sen berbanding minggu sebelumnya. Dalam tempoh sama, harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi turut menurun masing-masing sebanyak 25 sen kepada RM4.10 dan RM3.47 seliter. Menurut Kementerian Kewangan (MOF), perubahan itu dibuat berdasarkan purata harga pasaran minyak dunia mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Bagi bahan api bersubsidi, kerajaan mengekalkan harga RON95 di bawah program BUDI95 pada RM1.99 seliter untuk penerima yang layak, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter. Harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) juga tidak berubah. Selain itu, pelaksanaan BUDI MADANI Diesel akan diperluaskan ke seluruh negara mulai 1 Julai, membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak menikmati harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter menggunakan MyKad.
MOF menjelaskan penurunan harga bahan api kali ini didorong oleh perkembangan lebih positif dalam pasaran minyak global serta pengurangan ketegangan konflik di Asia Barat. Bagaimanapun, kerajaan mengingatkan bahawa pasaran petroleum masih berdepan pelbagai ketidaktentuan termasuk risiko gangguan bekalan dan kos logistik yang tinggi. Justeru, kerajaan akan terus melaksanakan subsidi bersasar bagi melindungi rakyat, sambil menggalakkan penggunaan bahan api secara berhemah bagi memastikan bekalan negara kekal stabil dan mencukupi.
Foto Kredit: Berita Harian
No Comment! Be the first one.