PRN Johor, Negeri Sembilan Diadakan Secara Berasingan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan diadakan secara berasingan dengan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi yang...
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan diadakan secara berasingan dengan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi yang berbeza bagi kedua-dua negeri. Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, bagi PRN Johor, penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun, diikuti pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai. Sementara itu, bagi PRN Negeri Sembilan, penamaan calon akan berlangsung pada 18 Julai, pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos. Tempoh berkempen bagi kedua-dua pilihan raya ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam sehari sebelum hari pengundian.
Menurut beliau, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan bagi PRN Johor mengandungi seramai 2.73 juta pemilih, manakala DPPR bagi Negeri Sembilan melibatkan 889,490 pemilih. Kedua-dua daftar pemilih berkenaan dijadual mula dijual pada 23 Jun ini. Bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya, SPR turut melantik 56 Pegawai Pengurus dan 187 Penolong Pegawai Pengurus untuk Johor, manakala Negeri Sembilan melibatkan lapan Pegawai Pengurus serta 95 Penolong Pegawai Pengurus.
Ramlan berkata, kos pelaksanaan PRN Johor dianggarkan sebanyak RM86.8 juta, manakala PRN Negeri Sembilan memerlukan peruntukan sekitar RM80.6 juta. Dalam usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi, SPR akan melaksanakan kempen “Jom Kita Undi” menerusi pelbagai platform termasuk media elektronik, media sosial, hebahan awam serta pemasangan kain rentang di lokasi strategik bagi menggalakkan rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Foto kredit: Berita Harian
No Comment! Be the first one.