Program Semarak Subuh Catat Peningkatan Kehadiran Jemaah di Johor
JOHOR BAHRU: Program Semarak Subuh yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh Johor terus menunjukkan impak positif dalam usaha mengimarahkan masjid dan surau, selain memperkukuh hubungan antara...
JOHOR BAHRU: Program Semarak Subuh yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh Johor terus menunjukkan impak positif dalam usaha mengimarahkan masjid dan surau, selain memperkukuh hubungan antara pemimpin, institusi masjid serta masyarakat setempat. Pengerusi Masjid Jamek As-Syakirin, Abdul Aziz Madi berkata, program yang diperkenalkan kerajaan negeri itu berjaya meningkatkan kehadiran jemaah, khususnya bagi solat subuh, termasuk dalam kalangan golongan muda dan keluarga yang kini semakin aktif menyertai aktiviti di masjid.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja menggalakkan masyarakat mendekati institusi masjid, malah mengukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam komuniti. Sementara itu, Imam merangkap Bendahari Masjid Jamek As-Syakirin, Yusof Mahamad berkata, jumlah kehadiran jemaah kini meningkat secara konsisten sehingga mampu memenuhi dua saf pada hari bekerja, berbanding sebelum ini yang hanya mencatatkan antara 20 hingga 30 orang jemaah. Program itu turut memberi manfaat kepada golongan memerlukan menerusi pengagihan 100 bakul makanan dan 100 pek beras lima kilogram kepada penduduk setempat.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Surau Ittihad Mariam, Rahim Ahmad menyifatkan Program Semarak Subuh sebagai platform berkesan untuk merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan masyarakat akar umbi. Katanya, penganjuran program di masjid dan surau perumahan membuka ruang kepada penduduk berinteraksi secara lebih dekat dengan pemimpin serta agensi kerajaan dalam suasana yang santai dan harmoni. Program yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya itu akan terus diperkasakan menerusi Belanjawan Johor 2026 dengan peruntukan RM2.92 juta, selain meningkatkan kekerapan penganjuran daripada dua kepada tiga kali seminggu.
Foto kredit: Bernama
No Comment! Be the first one.