Penggunaan Headphone Harian Berisiko Jejaskan Pendengaran Jika Tidak Dikawal
Penggunaan headphone untuk mendengar muzik atau membuat panggilan tidak lebih berbahaya berbanding penggunaan speaker biasa, menurut pakar kesihatan pendengaran. Pakar audiologi dari University of...
Penggunaan headphone untuk mendengar muzik atau membuat panggilan tidak lebih berbahaya berbanding penggunaan speaker biasa, menurut pakar kesihatan pendengaran.
Table Of Content
Pakar audiologi dari University of Pittsburgh Medical Center, Catherine V. Palmer, menjelaskan bahawa telinga manusia tidak membezakan sumber bunyi, sama ada daripada headphone, televisyen atau speaker lain.
“Yang penting bukan jenis peranti, tetapi tahap bunyi dan tempoh pendedahan,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh pakar telinga, hidung dan tekak dari Houston Methodist, Dr. Kenny Lin, yang menegaskan bahawa penggunaan headphone adalah selamat selagi ia digunakan pada tahap volume yang munasabah.
Risiko Meningkat Dalam Keadaan Tertentu
Walaupun secara asasnya selamat, penggunaan headphone boleh menjadi lebih berisiko dalam situasi tertentu, khususnya apabila bunyi dipasang terlalu kuat dan diletakkan dekat dengan telinga.
Menurut pakar, risiko juga meningkat apabila pengguna berada dalam persekitaran bising seperti di dalam tren atau kawasan terbuka, yang mendorong mereka menaikkan volume bagi menutup bunyi luar.

Kerosakan Pendengaran Bergantung Kepada “Dos Bunyi”
Pakar menjelaskan bahawa faktor utama yang menentukan kerosakan pendengaran adalah “dos bunyi”, iaitu gabungan tahap kekuatan bunyi dan tempoh pendedahan.
Semakin kuat bunyi dan semakin lama didedahkan, semakin tinggi risiko kerosakan, yang lazimnya bersifat kekal.
Selain itu, pendedahan berpanjangan kepada bunyi kuat juga boleh menyebabkan tinnitus atau telinga berdesing.
Apakah Tahap Bunyi Selamat?
Menurut garis panduan kesihatan, Bunyi sekitar 70 desibel dianggap selamat. Manakala, bunyi melebihi 85 desibel berisiko jika terdedah dalam tempoh lama.
Sehubungan itu, pengguna disarankan untuk mengawal tahap volume serta mengehadkan tempoh penggunaan.
Tanda Awal Perlu Diberi Perhatian
Kerosakan pendengaran biasanya berlaku secara berperingkat dan sukar dikesan pada peringkat awal.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuklah telinga berdesing, rasa penuh dalam telinga dan kesukaran mendengar dengan jelas.
Individu yang mengalami simptom ini digalakkan mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Pakar turut mencadangkan penggunaan fungsi noise-cancelling bagi mengurangkan keperluan menaikkan volume dalam persekitaran bising.
Selain itu, pengguna boleh menetapkan had maksimum volume pada peranti masing-masing bagi mengelakkan pendedahan bunyi berlebihan.
Penggunaan headphone tidak menjadi masalah sekiranya digunakan dengan betul. Namun, pendedahan kepada bunyi yang terlalu kuat dan terlalu lama tanpa mengira sumber boleh menjejaskan pendengaran dalam jangka panjang.
Sumber:
HuffPost berdasarkan pandangan pakar audiologi dan perubatan pendengaran.
No Comment! Be the first one.