Geng Best Pagi On Santuni Keluarga Adik Haira Watikah
JOHOR BAHRU: Keprihatinan terhadap nasib adik Nur Haira Watikah terus mendapat perhatian masyarakat. Haira Watikah kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, selepas...
JOHOR BAHRU: Keprihatinan terhadap nasib adik Nur Haira Watikah terus mendapat perhatian masyarakat. Haira Watikah kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, selepas dilaporkan diserang beberapa ekor anjing liar baru-baru ini. Namun sehingga kini, adik Haira masih belum sedarkan diri.
Prihatin dengan keadaan yang sedang dilalui keluarga berkenaan, Geng Best Pagi On, AD Baharudin dan Aiman Sabri tampil menziarahi keluarga Nur Haira Watikah bagi menyampaikan sokongan serta sedikit sumbangan. Kunjungan itu bukan sekadar untuk menghulurkan bantuan, malah menjadi ruang buat mereka mendengar sendiri perkongsian daripada ibu bapa Haira mengenai keadaan serta keperluan keluarga ketika ini.

Menurut ibu Nur Haira Watikah iaitu Nur Wahyuni binti Harun, keadaan anaknya kini stabil, namun masih belum sedarkan diri. Dalam masa sama, bapa Haira Watikah, Mohammad Hamizi turut memohon jasa baik orang ramai agar tidak lagi menyebarkan gambar anak mereka.
“Kami juga memohon ehsan semua pihak supaya tidak lagi menyebarkan gambar anak kami, Haira Watikah, kerana ia akan mengganggu emosi kami sekeluarga.” Permintaan itu dibuat bagi menghormati privasi dan menjaga emosi seluruh keluarga yang kini sedang melalui detik sukar.

Bagi penyampai Best Pagi On, usaha menyantuni masyarakat akan terus menjadi antara nilai utama yang dibawa oleh program berkenaan. Kerana dalam situasi seperti ini, sokongan tidak semestinya diukur melalui nilai wang ringgit. Sebaliknya, kehadiran, perhatian dan kata-kata semangat juga mampu memberikan sedikit kekuatan kepada mereka yang sedang diuji. “Kadang-kadang bukan soal berapa besar sumbangan yang kita mampu berikan, tetapi soal hadir ketika seseorang itu memerlukan sokongan. Kehadiran, perhatian dan sedikit kata-kata semangat juga mempunyai nilai yang besar.”

Kunjungan team Best Pagi On diharap dapat memberikan sedikit sinar dan kekuatan buat keluarga Haira Watikah yang sedang melalui ujian ini. Daripada kami di Best FM, seluruh warga kerja mendoakan agar adik Nur Haira Watikah diberikan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan dan segera sedarkan diri dan kembali sihat seperti biasa.
Semoga keluarga Haira Watikah terus diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini.
Best FM sentiasa bersama anda.
No Comment! Be the first one.