Kuala Lumpur: Harimau Malaya terpaksa menerima kekalahan 0-2 kepada Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sekali gus menjadikan misi ke final semakin sukar.
Malaysia yang menurunkan beberapa muka baharu bermula dengan corak permainan tersusun dan berdisiplin di hadapan juara bertahan itu. Namun, cabaran skuad kendalian sementara Tan Cheng Hoe bertambah apabila pertahanan Kuching City, Rodney Celvin Akwensivie, terpaksa dikeluarkan pada minit ke-12 selepas mengalami kecederaan.
Tempatnya kemudian diambil Aysar Hadi Shapri, namun pemain itu menerima kad kuning hanya dua minit selepas memasuki padang kerana melakukan kekasaran terhadap pemain Vietnam.
Harimau Malaya cuba meningkatkan tekanan dan hampir mencipta peluang menerusi G Pavithran yang melakukan percubaan dari kawasan tengah pada minit ke-13, tetapi sepakannya tidak cukup bertenaga untuk menguji penjaga gol lawan.
Malaysia sekali lagi mempunyai peluang beberapa minit kemudian apabila Mohamadou Sumareh menghasilkan hantaran lintang berbahaya, namun Sergio Aguero gagal menyempurnakan peluang berkenaan selepas percubaannya tidak mengenai bola dengan sempurna.
Peluang terbaik skuad negara pada babak pertama hadir pada minit ke-35. Hantaran Faris Danish Asrul dari sebelah kiri hampir membuka ruang untuk Paulo Josue dan Daryl Sham George, tetapi kedua-duanya gagal melakukan penyudah yang tepat.
Vietnam yang turut berdepan kesukaran untuk memecahkan pertahanan Malaysia hampir mendahului pada minit ke-43 apabila Nguyen Xuan Son mencuba dengan sepakan gunting, namun bola melewati sasaran.
Tidak lama kemudian, Azri Ghani memastikan gawang Malaysia terus tidak dibolosi apabila berjaya menangkap kemas percubaan Nguyen Dinh Bac pada penghujung babak pertama.
Bagaimanapun, ketika kedua-dua pasukan dilihat bakal memasuki waktu rehat tanpa jaringan, Vietnam akhirnya menemui gol pembukaan menerusi Xuan Son. Penyerang itu mengambil kesempatan daripada kelalaian pertahanan Malaysia untuk menanduk masuk bola pada saat-saat akhir separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Malaysia tampil lebih agresif dalam usaha mencari gol penyamaan. Sumareh hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-54, namun percubaannya dari sudut sempit berjaya ditepis penjaga gol Vietnam.
Drama tercetus pada minit ke-65 apabila penjaga gol Vietnam dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Sumareh di dalam situasi serangan. Namun, keputusan itu kemudian dibatalkan selepas semakan VAR mendapati tiada berlaku sentuhan antara kedua-dua pemain.
Cheng Hoe melakukan beberapa perubahan selepas itu dengan memasukkan Ibrahim Manusi untuk membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan. Syafiq Ahmad dikeluarkan, manakala Haqimi Azim Rosli turut dimasukkan menggantikan Sumareh.
Vietnam hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-77 menerusi Do Hoang Hen, tetapi tandukannya tepat ke arah Azri Ghani yang mudah menyelamatkan percubaan tersebut.
Usaha Malaysia untuk kekal dalam permainan bagaimanapun menerima tamparan hebat apabila Vietnam memperoleh gol kedua. Kekalutan berlaku di kawasan pertahanan sebelum hantaran Nguyen Quang Hai terkena Faris Danish Asrul dan bola melantun masuk ke gawang sendiri.
Ketinggalan dua gol, Harimau Malaya terus berusaha mencari jaringan bagi mengurangkan defisit. Beberapa gerakan berjaya dilakukan ke kawasan pertahanan Vietnam, namun tiada satu pun menghasilkan gol sehingga tamat perlawanan.
Keputusan 0-2 itu meletakkan Malaysia dalam keadaan tertekan menjelang aksi timbal balik di Stadium My Dinh, Hanoi pada 19 Ogos.
Harimau Malaya kini perlu mencipta kemenangan dengan margin yang besar di laman lawan sekiranya mahu menghidupkan kembali impian untuk mara ke final Piala ASEAN 2026.
No Comment! Be the first one.