Kerajaan Susun Semula Program VM2026, Pengumuman Dijangka Dalam Masa Terdekat
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menilai semula beberapa kempen serta program di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) susulan ketidaktentuan geopolitik di...
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menilai semula beberapa kempen serta program di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada perancangan asal. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihak kementerian memerlukan kira-kira sebulan hingga satu setengah bulan untuk menyusun semula pelaksanaan program sebelum membuat pengumuman rasmi mengenai perubahan tersebut.
Menurut beliau, langkah penstrukturan semula itu dibuat selepas kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan VM2026 sehingga penghujung tahun 2027. Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa keputusan tersebut dipersetujui oleh Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 dengan mengambil kira perkembangan semasa, termasuk konflik berpanjangan di Asia Barat yang menjejaskan kestabilan serantau.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia merekodkan ketibaan 17.5 juta pelancong bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, meningkat 3.4 peratus berbanding 16.9 juta pelancong dalam tempoh sama tahun lalu. Selain itu, Festival Rain Rave 2026 yang dianjurkan di bawah VM2026 berjaya menarik kira-kira 415,000 pengunjung keseluruhan dan menjana pulangan ekonomi dianggarkan RM392.33 juta, sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan negara.
Foto Kredit: Berita Harian
No Comment! Be the first one.