Prestasi STPM Terus Memuncak, PNGK 2025 Catat Sejarah Baharu
Prestasi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 menunjukkan trend positif apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85 yang direkodkan pada tahun...
Prestasi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 menunjukkan trend positif apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85 yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Pencapaian itu bukan sahaja menjadi yang tertinggi dalam sejarah peperiksaan berkenaan, malah menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 12.06 peratus berbanding PNGK 2.57 pada STPM 2023. Seramai 1,336 calon berjaya memperoleh PNGK 4.00, meningkat 70 orang berbanding tahun lalu.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, bilangan calon yang mencatat keputusan cemerlang turut bertambah apabila 60 calon memperoleh 5A, manakala 1,285 calon meraih 4A. Pada masa sama, kadar kelulusan penuh bagi lima dan empat subjek meningkat kepada 77.64 peratus membabitkan 29,616 calon, berbanding 76.55 peratus pada tahun 2024. Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan STPM 2025 dalam satu majlis khas hari ini.
Daripada keseluruhan 40,199 calon berdaftar, seramai 38,144 calon hadir menduduki peperiksaan, dengan hampir semua calon yang hadir layak menerima sijil STPM. Menurut beliau, kesemua 23 subjek yang ditawarkan mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus, dengan Bahasa Arab dan Bahasa Tamil merekodkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan. Dalam pada itu, 18 calon terbaik yang terdiri daripada pelajar aliran Sains, Sains Sosial, Orang Asli serta calon Berkeperluan Pendidikan Khas dipilih menerima pengiktirafan khas daripada MPM, termasuk wang tunai RM1,000, plak dan sijil penghargaan.
Foto kredit: Berita Harian
No Comment! Be the first one.