Malaysia siap siaga hadapi cuaca panas, risiko jerebu akibat El Nino kuat
Agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi cuaca panas akibat fenomena El Nino berintensiti kuat yang dijangka berterusan sehingga awal tahun...
Agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi cuaca panas akibat fenomena El Nino berintensiti kuat yang dijangka berterusan sehingga awal tahun depan.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memaklumkan strategi dan tindakan kesiapsiagaan yang perlu dilaksanakan telah dibentangkan oleh agensi berkaitan pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2026 di sini hari ini.
Menurut NRES, fenomena itu dijangka menyebabkan taburan hujan berkurangan dan cuaca menjadi lebih panas serta kering berbanding keadaan biasa, sekali gus memberi implikasi terhadap sektor pertanian, penyusutan paras air empangan, peningkatan risiko pembakaran terbuka dan jerebu yang menjejaskan kesihatan awam.
Oleh itu, JIJCKK hari ini bersetuju agar setiap jabatan dan agensi berkaitan melaksanakan mesyuarat koordinasi bagi memastikan tindakan awal yang berkesan serta mempertingkatkan langkah pencegahan dan pemantauan secara berterusan bagi mengekang pembakaran terbuka, jerebu serta kejadian kebakaran berulang.
“Kesiapsiagaan infrastruktur tanah gambut, jentera dan sumber manusia juga perlu dipastikan supaya insiden kebakaran dapat dipadamkan dengan segera dan mengelakkan jerebu tempatan,” menurut kenyataan itu.
NRES memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga akan bersedia dengan persiapan logistik dan sumber manusia untuk digerakkan bagi menghadapi impak Monsun Barat Daya.
No Comment! Be the first one.