Rakyat Malaysia Nikmati Perkhidmatan Feri Percuma di Pulau Pinang Selama Dua Hari
Sempena sambutan Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menawarkan perkhidmatan feri percuma selama...
Sempena sambutan Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menawarkan perkhidmatan feri percuma selama dua hari iaitu pada 31 Mei dan 1 Jun kepada semua warganegara Malaysia. Inisiatif itu melibatkan perjalanan dua hala antara Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), sekali gus memberi kemudahan kepada pengguna yang ingin merentasi Selat Pulau Pinang sepanjang tempoh berkenaan.
Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua organisasi dalam memudahkan perjalanan rakyat, khususnya ketika musim perayaan. Menurut beliau, penyediaan tambang percuma bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kos perjalanan pengguna, malah berupaya mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih lestari dan cekap.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada sambutan Hari Wesak tahun lalu, perkhidmatan feri mencatatkan 7,127 penumpang pejalan kaki dan 2,221 pengguna kenderaan dua roda bagi perjalanan dua hala. Secara keseluruhan, perkhidmatan feri pada tahun 2025 merekodkan 2.35 juta penumpang pejalan kaki dan lebih 784,000 pengguna kenderaan dua roda. Sehubungan itu, SPPP dan PPSB berharap inisiatif feri percuma ini dapat meringankan beban rakyat serta membolehkan orang ramai menyambut kedua-dua perayaan tersebut dengan lebih bermakna, sambil mengekalkan aspek keselamatan, keselesaan dan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan.
Kredit gambar: Astro Awani
No Comment! Be the first one.