Ayah pergi malam Nuzul al-Quran, penyanyi ‘Bossanova’ hanya sempat lihat melalui video call
KUALA LUMPUR, 7 MAC : Bapa kepada penyanyi terkenal yang popular dengan lagu Bossanova, Wann, iaitu Meor Abdul Rashid Meor Abdul Salim, 78, meninggal dunia di Hospital Selayang pada jam 9.25 malam...
KUALA LUMPUR, 7 MAC : Bapa kepada penyanyi terkenal yang popular dengan lagu Bossanova, Wann, iaitu Meor Abdul Rashid Meor Abdul Salim, 78, meninggal dunia di Hospital Selayang pada jam 9.25 malam tadi.
Pemergian Allahyarham menyentuh hati ramai apabila ia berlaku pada malam yang penuh keberkatan dalam Islam, iaitu malam Nuzul al-Quran di bulan Ramadan.
Berita duka itu disahkan pelakon Sheila Mambo selepas mendapat keizinan daripada Wann ketika beliau menziarahi arwah di hospital.
Menurut Sheila, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang sejak 3 Februari lalu selepas disahkan mengalami masalah batu hempedu. Namun keadaan kesihatannya semakin merosot apabila penyakit tersebut merebak sehingga menyebabkan jangkitan serta penyakit kuning.
Sepanjang tempoh dirawat di hospital, ramai kenalan termasuk rakan artis tanah air sempat datang menziarahi Allahyarham bagi memberi sokongan kepada Wann serta mendoakan kesihatannya.
Allahyarham Meor Abdul Rashid dikenali sebagai seorang insan yang sangat baik dan dihormati oleh penduduk setempat. Malah, beliau juga aktif mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran dan cukup dikenali dalam kalangan penduduk di PPR Sri Aman, Kepong.
Namun saat yang paling memilukan apabila Wann yang kini menetap di Singapura tidak sempat berada di sisi bapanya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir kerana sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
Walaupun begitu, penyanyi lagu Joget Hari Raya bersama Azmeer itu masih berpeluang melihat wajah bapanya menerusi panggilan video yang dibuat oleh ahli keluarga yang berada di hospital ketika arwah sedang nazak.
Wann yang juga pernah merakamkan beberapa lagu Aidilfitri seperti Selamat Hari Raya dan Bila Takbir Bergema dilaporkan menerima ketentuan Ilahi dengan tenang dan reda.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Wann atau nama sebenarnya Wan Rashidah turut memaklumkan berita pemergian bapanya dan memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.
“Buat yang mengenali abah saya, mohon doakan untuknya,” tulisnya.
Sementara itu, berdasarkan perkongsian kenalan di ruang facebok, jenazah Allahyarham berada di Surau Al Hijriah, PPR Sri Aman, Jinjang Utara, Kuala Lumpur dan ditemani oleh anak serta cucu-cucu.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sekitar jam 10 pagi ini.
Pemergian Allahyarham pada malam Nuzul al-Quran, selain dikenali sebagai insan yang banyak berjasa kepada masyarakat, menjadikan kehilangan ini amat dirasai oleh keluarga, sahabat serta penduduk setempat.
No Comment! Be the first one.