Gong Xi Bersama BEST FM: 4 Selebriti Cina Popular Meriahkan Tahun Baharu Cina 2026
Johor Bahru, 16 FEB 2026: Sempena kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina 2026, BEST FM dengan tagline Suara Dunia Baharu tampil membawakan kelainan apabila mengundang empat selebriti berbangsa Cina...
Johor Bahru, 16 FEB 2026: Sempena kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina 2026, BEST FM dengan tagline Suara Dunia Baharu tampil membawakan kelainan apabila mengundang empat selebriti berbangsa Cina bagi memeriahkan suasana perayaan bersama para pendengar setia.
Menariknya, keempat-empat selebriti ini hadir daripada latar belakang kerjaya yang berbeza daripada dunia nyanyian, lakonan, sehinggalah ke arena pempengaruh digital. Namun masing-masing memiliki nama yang cukup besar dan pengaruh tersendiri dalam industri hiburan tanah air.

Dato’ Soo Wincci Buka Tirai Best Pagi Onz
Sambutan Tahun Baharu Cina di BEST FM dimulakan menerusi segmen Best Pagi Onz bersama gandingan ceria AD & Kudien, yang menjemput figura versatil, Dato’ Soo Wincci sebagai tetamu istimewa.
Lebih menarik, Soo Wincci yang memulakan langkah dalam industri sebagai ratu cantik dan kini aktif sebagai penyanyi, pelakon serta ahli akademik, turut berkongsi keterujaannya menyambut Ramadan. Malah, beliau mendedahkan tidak pernah meninggalkan ibadah puasa setiap tahun . Ia satu perkongsian yang cukup menyentuh hati pendengar.

Vince Chong Kembali Aktif, Eksklusif di Best Relax
Segmen Best Relax kendalian Ieqa bersama Anna Tongai pula membawakan kemunculan istimewa juara Akademi Fantasia musim pertama, iaitu Vince Chong.
Selepas sekian lama menyepi dari dunia seni suara, Vince kembali mencuri perhatian apabila muncul sebagai peserta program Mask Singer Malaysia. Apakah kisah sebenar di sebalik kemunculan semulanya? Jangan lepaskan peluang mendengar perbualan eksklusif ini pada 17 Februari (Hari Raya Cina Pertama), jam 10 pagi hingga 3 petang.

Ricky Lee Hangatkan Best Havoc Bersama Penyampai Bangsa Cina
Kemeriahan diteruskan dalam segmen Best Havoc bersama penyampai otai, Helmi, yang digandingkan dengan penyampai baharu BEST FM berbangsa Cina, Daenee.
Mereka akan berborak santai bersama pempengaruh mualaf terkenal, Ricky Lee. Ricky yang sebelum ini menyerlah di TikTok kini mengorak langkah sebagai usahawan gerai di Johor Bahru selepas berani meninggalkan kerjaya tetapnya di Singapura.
Selain itu, Daenee sendiri turut berkongsi pengalaman dan kisah peribadi menyambut Tahun Baharu Cina, menjadikan segmen ini lebih dekat dengan jiwa pendengar.

Andy Teh Tutup Malam Perayaan di Best Night Talk
Menutup tirai sambutan malam Tahun Baharu Cina, pelakon yang sedang hangat diperkatakan, Andy Teh, akan tampil dalam segmen Best Night Talk bersama Aiman & Hafiz.
Perbualan santai namun penuh cerita menarik ini akan berlangsung dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam, menjanjikan pelbagai kisah di sebalik perjalanan seni dan perkembangan terkini beliau dalam industri lakonan.
Lagu Artis Cina Sepanjang Hari
Bukan itu sahaja — sepanjang Hari Raya Cina Pertama, BEST FM turut membawakan deretan lagu popular nyanyian artis berbangsa Cina. Ada di antaranya pasti mengejutkan anda kerana mungkin selama ini anda tidak mengetahui latar belakang penyanyinya!
Terus Setia Bersama BEST FM
Jadi, jangan lupa untuk terus melekat bersama BEST FM sama ada secara penstriman atas talian atau menerusi frekuensi 104.1 FM di Johor dan Lembah Klang.
Di kesempatan ini, seluruh warga BEST FM ingin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua pendengar setia dan pembaca portal BEST FM. Semoga tahun ini membawa kemakmuran, kebahagiaan dan tuah berpanjangan buat anda semua.
No Comment! Be the first one.