Dortmund belasah Mainz, hampiri Bayern
DORTMUND: Borussia Dortmund merapatkan jurang kepada tiga mata di belakang pendahulu Bundesliga, Bayern Munich, selepas membelasah Mainz 4-0 di Signal Iduna Park. Serhou Guirassy meledak dua gol pada...
DORTMUND: Borussia Dortmund merapatkan jurang kepada tiga mata di belakang pendahulu Bundesliga, Bayern Munich, selepas membelasah Mainz 4-0 di Signal Iduna Park.
Serhou Guirassy meledak dua gol pada separuh masa pertama, manakala Julian Ryerson mencipta empat bantuan jaringan – semuanya menerusi tandukan – dalam kemenangan liga terbesar Dortmund musim ini.
Dortmund kini mencatat enam kemenangan berturut-turut bagi memotong kelebihan Bayern yang sebelum ini mendahului 11 mata ketika Krismas selepas mempamerkan permulaan musim terbaik dalam sejarah Bundesliga.
Ryerson membuka tirai bantuan jaringan pada minit ke-10 apabila sepakan percumanya ditanduk masuk Guirassy. Lima minit kemudian, hantaran lintangnya pula disudahkan Maximilian Beier untuk gol kedua.
Sebelum rehat, pemain Norway itu sekali lagi menjadi arkitek apabila sepakan sudut tepat menemui Guirassy untuk gol ketiga peribadinya malam itu.
Dengan baki enam minit permainan, satu lagi sepakan sudut Ryerson ditanduk masuk Ramy Bensebaini bagi melengkapkan kemenangan selesa tuan rumah.
Guirassy yang sebelum ini bergelut dengan hanya satu gol dalam 10 perlawanan liga sekitar Krismas, kini menjaringkan lima gol dalam tiga aksi terakhirnya.
“Kami boleh berehat dengan tenang sepanjang hujung minggu jika menang pada Jumaat,” kata pengendali Dortmund, Niko Kovac.
Mainz yang kini berada di tangga ke-14 di bawah kendalian Urs Fischer, gagal mengulangi kebangkitan mereka sejak Disember.
Dortmund bagaimanapun perlu mengekalkan fokus menjelang pertemuan penting menentang Bayern dalam tempoh dua minggu, selain aksi Liga Juara-Juara menentang Atalanta minggu depan.
Sumber: BH
No Comment! Be the first one.