Royal Johor Juara JSCPT 2026, Tunku Mahkota Ismail Dinobat MVP
Kejayaan pasukan Royal Johor menjuarai Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 menyerlahkan semangat juang DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Pasukan Royal Johor muncul juara...
Kejayaan pasukan Royal Johor menjuarai Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 menyerlahkan semangat juang DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Pasukan Royal Johor muncul juara selepas menewaskan Temasek 10-7 dalam perlawanan akhir di Royal Johor Polo Club (RJPC), Istana Pasir Pelangi. Kerajaan Negeri merafak sembah setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian cemerlang ini yang membuktikan keupayaan Johor di pentas sukan bertaraf antarabangsa.
Pencapaian tersebut lebih membanggakan apabila Baginda tetap turun beraksi biarpun mengalami kecederaan tangan, seterusnya menyumbang enam jaringan dan dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP), manakala kuda tunggangan Baginda, Poliya Cara Palida, menerima pengiktirafan ‘The Best Playing Pony’. Kecekalan dan disiplin yang ditunjukkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail di hadapan penonton termasuk Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, menjadi teladan bermakna serta pemangkin semangat buat seluruh Bangsa Johor.
Penganjuran kejohanan elit ini bukan sahaja memperkukuh legasi polo DiRaja Johor, malah membuktikan keupayaan negeri menganjurkan acara sukan berprestij tinggi. Kerajaan Negeri berharap kejayaan ini dapat memperkenalkan nama Johor di peringkat global serta mengangkat negeri ini sebagai destinasi pilihan utama bagi penganjuran acara sukan antarabangsa pada masa hadapan.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.