JSCPT 2026: Penganjuran Polo Terbesar Kukuh Kedudukan Johor di Pentas Dunia
Penganjuran Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 sebagai kejohanan polo terbesar dan berhandikap tertinggi di Malaysia telah memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi sukan berprestij...
Penganjuran Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 sebagai kejohanan polo terbesar dan berhandikap tertinggi di Malaysia telah memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi sukan berprestij di pentas antarabangsa. Kerajaan Negeri menyembah setinggi-tinggi kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas visi dan kepimpinan baginda dalam memartabatkan arena polo negeri. Berlangsung di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi, kejohanan bertema ‘Legacy in Motion’ ini menghimpunkan lima pasukan elit serta barisan pemain terkemuka dunia, termasuk bekas juara Argentine Open.
Semangat juang tinggi ditunjukkan Pemangku Sultan Johor apabila baginda tetap beraksi mewakili pasukan Royal Johor meskipun mengalami keretakan tiga jari akibat kecederaan tangan lapan hari sebelum kejohanan. Keazaman baginda terbukti apabila berjaya menyumbangkan lima gol dalam tempoh dua chukka, sekaligus membawa Royal Johor menewaskan Temasek 11-7 pada perlawanan pembukaan yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi. Ketabahan ini menjadi sumber inspirasi buat seluruh rakyat Bangsa Johor untuk pantang menyerah dalam mengejar kejayaan.
Selain mengekalkan tradisi polo DiRaja Johor, penganjuran kejohanan ini membuka ruang luas kepada pembangunan pelancongan sukan premium dan mempromosikan Johor ke peringkat global menerusi siaran langsung PoloLine.TV. Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkasakan ekosistem penganjuran acara sukan antarabangsa bagi memacu sektor pelancongan, membuka peluang ekonomi baharu, serta mengukuhkan penjenamaan Johor di mata dunia.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.