Johor Sasar Gelaran Juara Olahraga SUKMA Tiga Kali Berturut-turut
Impian kem olahraga Johor untuk muncul juara keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut pada SUKMA XXII Selangor 2026 semakin hampir menjadi kenyataan apabila temasya kini memasuki hari terakhir...
Impian kem olahraga Johor untuk muncul juara keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut pada SUKMA XXII Selangor 2026 semakin hampir menjadi kenyataan apabila temasya kini memasuki hari terakhir bagi acara olahraga. Selepas kejayaan di SUKMA MSN XX 2020 dan SUKMA XXI Sarawak 2024, kontinjen Johor terus menunjukkan prestasi membanggakan dengan mengumpul lapan emas, enam perak dan empat gangsa setakat hari kelapan pertandingan.
Koordinator Pasukan Olahraga Johor, YBrs Encik S. Ananda Raja berkata, kejayaan itu merupakan hasil persiapan intensif yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu, merangkumi pemantapan kejurulatihan, pemilihan atlet berdasarkan kesesuaian acara serta penerapan sains sukan dalam latihan. Usaha tersebut turut mendapat sokongan Kerajaan Johor menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), khususnya melalui penyediaan kemudahan latihan seperti program ‘The Cage’, selain bantuan dalam aspek psikologi, nutrisi dan pembangunan kekuatan atlet.
Pada awalnya, pasukan olahraga Johor menyasarkan lima emas, namun prestasi dan semangat juang atlet berjaya melonjakkan kutipan melepasi sasaran tersebut. Selepas meraih sembilan emas, lima perak dan empat gangsa di Sarawak pada 2024, kem Johor kini bertekad menambah pungutan pingat dalam acara yang masih berbaki bagi melengkapkan misi mencipta sejarah sebagai juara keseluruhan olahraga SUKMA untuk tiga edisi berturut-turut.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.