Kerajaan Negeri Perkasa Perlindungan Kanak-Kanak Menerusi Tiga CIC
Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh sistem perlindungan dan kebajikan kanak-kanak menerusi pengoperasian tiga Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). CIC...
Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh sistem perlindungan dan kebajikan kanak-kanak menerusi pengoperasian tiga Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). CIC Muar, CIC Iskandar Puteri dan CIC Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berperanan memastikan proses rakaman keterangan kanak-kanak dilaksanakan secara profesional dalam persekitaran selamat dan mesra, selain menyokong siasatan serta pendakwaan kes berkaitan.
Bagi CIC Muar, penyerahan kunci oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor kepada Polis Johor telah dilaksanakan pada 16 April lalu, manakala penyediaan kelengkapan serta fasiliti tambahan sedang dipergiat. Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Menteri Besar Johor turut menyalurkan RM50,000 bagi pembelian peralatan CIC Iskandar Puteri yang mula beroperasi pada 2 April 2024, manakala CIC IPK Johor yang merupakan pusat pertama di negeri ini dibangunkan dengan peruntukan RM360,000.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, YB Puan Hajah Hasrunizah Haji Hassan mengadakan lawatan ke CIC Muar. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, YB Puan Chan San San serta Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Maharani, YB Dato’ Ashari Md Sarip. Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan kanak-kanak terus diberi keutamaan.
Foto Kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.