Alif Satar Himpunkan Ribuan Jemaah Subuh di Masjid Sri Sendayan
KUALA LUMPUR: Usaha penyanyi dan pelakon Alif Satar dalam menggalakkan masyarakat mengimarahkan masjid terus mendapat sambutan apabila kempen #GengSubuhMacamJumaat sekali lagi menghimpunkan kehadiran...
KUALA LUMPUR: Usaha penyanyi dan pelakon Alif Satar dalam menggalakkan masyarakat mengimarahkan masjid terus mendapat sambutan apabila kempen #GengSubuhMacamJumaat sekali lagi menghimpunkan kehadiran jemaah yang ramai di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Menerusi perkongsian video di akaun Threads miliknya, Alif, 36, meluahkan rasa syukur selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah bersama para hadirin di masjid berkenaan.
Hantaran tersebut turut memaparkan suasana masjid yang dipenuhi jemaah sehingga memenuhi ruang solat, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi positif dalam kalangan warga maya. Ramai memuji inisiatif Alif yang dilihat berjaya menarik minat khususnya golongan lelaki dan anak muda untuk menjadikan masjid sebagai tempat utama beribadah, selain menyifatkan pendekatan itu sebagai satu bentuk dakwah yang dekat dengan masyarakat.
Dalam ruangan komen, beberapa jemaah turut berkongsi pengalaman pertama menyertai program berkenaan dan menyifatkan suasana solat Subuh yang berlangsung begitu meriah seolah-olah solat Jumaat. Untuk rekod, Alif memulakan gerakan #GengSubuhMacamJumaat pada penghujung November 2023 dan sebelum ini pernah menghimpunkan kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab pada 1 Januari 2024.
No Comment! Be the first one.