Johor Catat Pertumbuhan KDNK Tertinggi Malaysia Pada 2025
Johor mencatat satu lagi pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia bagi tahun 2025, iaitu sebanyak 8.0 peratus,...
Johor mencatat satu lagi pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia bagi tahun 2025, iaitu sebanyak 8.0 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan nasional sebanyak 5.2 peratus. Pencapaian ini dilihat sebagai bukti keberkesanan pelaksanaan agenda Maju Johor 2030 dalam memacu pembangunan ekonomi negeri, selain mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing. Dalam masa yang sama, penghargaan turut dizahirkan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas nasihat, panduan dan sokongan berterusan dalam memperkukuh agenda pembangunan negeri.
Menteri Besar Johor turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Lee Ting Han, serta Kerajaan Negeri Johor, Kerajaan Persekutuan, kementerian, jabatan, agensi berkaitan dan semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan tersebut. Beliau menegaskan bahawa pencapaian berkenaan bukanlah untuk dibanggakan semata-mata, sebaliknya menjadi amanah untuk terus memperkukuh ekonomi negeri, menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan demi kesejahteraan Bangsa Johor. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Johor masih mempunyai potensi besar untuk terus berkembang, sambil berharap segala usaha membangunkan negeri akan terus dipermudahkan demi manfaat seluruh rakyat Johor.
Kredit: Facebook Onn Hafiz Ghazi
No Comment! Be the first one.