Johor Perkukuh Ekonomi, 200,000 Peluang Kerja Berkualiti Dijangka Terhasil
Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) menetapkan sasaran mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi menjelang 2030 menerusi pelbagai pelaburan yang akan dilaksanakan dalam...
Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) menetapkan sasaran mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi menjelang 2030 menerusi pelbagai pelaburan yang akan dilaksanakan dalam sektor-sektor strategik negeri. Inisiatif itu dijangka meningkatkan jumlah guna tenaga di Johor daripada 2.077 juta pada 2024 kepada 2.277 juta pekerjaan dalam tempoh enam tahun akan datang. Daripada jumlah keseluruhan peluang pekerjaan baharu tersebut, sekitar 50,000 dijangka terhasil melalui pertumbuhan ekonomi semula jadi, manakala baki 150,000 lagi akan dipacu oleh pelaksanaan inisiatif dan projek di bawah JETP.
Usaha berkenaan disokong oleh pembangunan lapan sektor utama yang dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi Johor sehingga 2030. Sektor tersebut merangkumi industri kimia dan petrokimia, kesihatan dan farmaseutikal, tenaga, elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, logistik, pelancongan serta pertanian. Tumpuan terhadap sektor-sektor ini diyakini mampu menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi selain membuka peluang pekerjaan berkemahiran kepada rakyat negeri itu.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi Program TVET Bersepadu Johor yang disesuaikan dengan keperluan industri. Program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat multinasional (MNC), perusahaan kecil dan sederhana (PKS), JSkills serta Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi memperkukuh aspek latihan, pensijilan dan penempatan pekerjaan. Selain itu, JETP turut menggariskan cadangan Dasar Gaji Berkait Produktiviti di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk meningkatkan pendapatan pekerja, mengurangkan penghijrahan tenaga mahir dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri, dengan sasaran KDNK Johor mencecah RM260 bilion serta KDNK per kapita melebihi RM69,000 menjelang 2030.
Foto kredit: Media Digital Johor
No Comment! Be the first one.