Rindu Yang Tak Pernah Pergi….
Assalamualaikum dan salam Maju Johor, Kadang-kadang dalam hidup ni, tarikh yang sepatutnya menggembirakan hadir sekali dengan rasa sebak. Hari ini, 8 Mei sambutan hari lahir anak kedua Ryn bernama...
Assalamualaikum dan salam Maju Johor,
Kadang-kadang dalam hidup ni, tarikh yang sepatutnya menggembirakan hadir sekali dengan rasa sebak. Hari ini, 8 Mei sambutan hari lahir anak kedua Ryn bernama Muhammad Izhud Ar Rifqi Bin Mohd Izhar yang ke-12 tahun sepatutnya diraikan bersama-sama. Namun kini beliau sedang berada di Selangor sempena Kejohanan Thirteen Rhino Rugby Challenge Peringkat Kebangsaan mewakili sekolahnya.
Sebagai seorang ibu, hati mana yang tak rindu nak peluk anak sendiri, tengok dia senyum dan meraikan hari istimewa bersama. Tapi dalam masa yang sama, Ryn bangga melihat Hud berusaha membawa nama sekolah dan mencipta pengalaman berharga di usia muda. Moga Hud terus kuat, bersemangat dan berjaya dalam apa jua yang dilakukan.
Dalam masa yang sama, bila tibanya sambutan Hari Ibu yang akan diraikan pada 10 Mei ini. Pasti ramai yang bergembira meraikan insan tersayang. Namun bagi Ryn, Hari Ibu hadir dengan rasa yang sedikit berbeza. Ryn sudah lama kehilangan insan bergelar ibu. Tiada lagi panggilan, tiada lagi pelukan dan tiada lagi suara yang dulu sentiasa mendoakan dari jauh. Kadang-kadang bila lihat orang lain masih dapat mencium tangan ibu masing-masing, hati kecil ini pasti akan tersentuh. Tapi Ryn percaya, kasih seorang ibu itu tidak pernah hilang, doa dan kenangannya tetap hidup dalam hati sampai bila-bila.
Kepada anda selagi ibu masih ada, hargailah mereka. Jenguklah dia bila ada kesempatan. Luangkan masa walaupun sekejap. Kadang-kadang seorang ibu bukan mahukan wang ringgit atau hadiah yang mahal, cukup sekadar anak-anak datang bertanya khabar, duduk berbual, makan bersama dan membuatkan hati mereka rasa dihargai. Percayalah, satu pelukan dan perhatian kecil daripada anak itu lebih besar nilainya daripada apa sahaja.

Walaupun kehilangan itu masih terasa, Ryn sangat bersyukur kerana masih dikelilingi sahabat-sahabat yang baik, keluarga yang sentiasa menyokong dan para pendengar yang tak pernah putus memberi kasih sayang. Ada yang menghantar ucapan, doa dan kata-kata semangat sempena Hari Ibu. Perhatian kecil seperti itu cukup besar maknanya buat seseorang yang sedang merindui seorang ibu. Kadang-kadang, Allah gantikan kehilangan itu dengan hadirnya insan-insan baik di sekeliling kita.
Selamat Hari Ibu!
No Comment! Be the first one.