Mazleen & Best FM Bersatu Cipta Magis Raya: “Dendang Dondang Sangat Bermakna!”
JOHOR BAHRU, 13 MAC 2026: Kemeriahan Aidilfitri tahun ini bakal terasa lebih istimewa apabila Juara Kilauan Emas 2025, Mazleen, tampil berkolaborasi bersama penyampai Best FM menerusi lagu raya...
JOHOR BAHRU, 13 MAC 2026: Kemeriahan Aidilfitri tahun ini bakal terasa lebih istimewa apabila Juara Kilauan Emas 2025, Mazleen, tampil berkolaborasi bersama penyampai Best FM menerusi lagu raya terbaru berjudul “Dendang Dondang Raya”. Kolaborasi ini bukan sahaja memberi warna baharu kepada muzik raya tempatan, malah menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna buat Mazleen dalam perjalanan seni beliau.
Menurut Mazleen, beliau berasa sangat teruja apabila pihak Best FM menghubunginya untuk bekerjasama dalam projek lagu raya ini.
“Alhamdulillah, bila pihak Best FM approach untuk kolaborasi ini memang saya rasa sangat teruja dan bersyukur. Bukan mudah nak dapat peluang bekerjasama dengan stesen radio yang mempunyai pendengar yang ramai. Jadi bagi saya ini satu pengalaman yang sangat bermakna dan saya anggap sebagai satu penghargaan juga kepada perjalanan seni saya,” katanya.
Walaupun Mazleen sebelum ini sudah mempunyai sebuah lagu raya bersam KESISTERS yang mendapat sambutan, beliau melihat “Dendang Dondang Raya” sebagai sesuatu yang unik dan mempunyai identiti tersendiri.
“Setiap lagu raya yang saya nyanyikan ada identiti dan ceritanya sendiri. Lagu ini bagi saya lebih kepada suasana kebersamaan dan kegembiraan menyambut Aidilfitri. Walaupun saya ada lagu raya sendiri, lagu ini tetap ada keistimewaan tersendiri kerana konsep dan kolaborasinya berbeza. Lebih-lebih lagi Best FM adalah satu-satunya stesen yang paling awal menawarkan kolaborasi ini, mestilah best!” ujar beliau.
Mazleen turut mengakui pada awalnya beliau tidak menyangka akan terlibat dalam kolaborasi seperti ini. Namun selepas idea tersebut dibincangkan, beliau merasakan ia satu konsep yang menarik dan segar untuk lagu raya.
“Sejujurnya pada awalnya saya tidak menjangka akan ada kolaborasi seperti ini. Tetapi bila idea ini datang dan dibincangkan, saya rasa ia sesuatu yang menarik dan boleh memberi warna baharu kepada lagu raya kita. Terima kasih kepada Pengurus Besar Best FM yang sudi menjemput saya untuk berkolaborasi,” jelasnya lagi.
Berkongsi tentang pengalaman bekerjasama dengan penyampai Best FM, Mazleen menyifatkan suasana sepanjang proses rakaman sangat menyeronokkan.
“Kerjasama dengan penyampai Best FM sangat sporting dan profesional. Suasana rakaman pun jadi lebih santai. Jadi proses menyiapkan lagu ini memang penuh dengan gelak tawa dan kenangan yang manis,” katanya.
Antara memori yang paling diingati oleh Mazleen ialah ketika sesi rakaman dan penggambaran muzik video “Dendang Dondang Raya”. Walaupun jadual setiap individu yang terlibat agak padat, namun semua memberikan komitmen yang sangat baik.
“Itu yang buat pengalaman menghasilkan lagu ini jadi lebih bermakna,” tambahnya.
Selepas pelancaran lagu ini, Mazleen juga merancang untuk terus aktif dengan beberapa projek muzik lain serta aktiviti promosi.
“InsyaAllah selepas ini saya akan terus aktif dengan beberapa projek muzik yang lain. Selain itu mungkin juga ada persembahan dan aktiviti promosi. Harapan saya lagu ini dapat diterima baik oleh pendengar dan menjadi salah satu lagu raya yang mereka nikmati setiap tahun.”
Mazleen turut berkongsi bahawa peminat memberikan pelbagai reaksi positif terhadap lagu-lagu rayanya sebelum ini.
“Ada peminat yang membandingkan secara positif. Ada yang suka lagu raya saya kerana melodinya ada vibes 90-an yang ceria, dan ada juga yang suka lagu ini kerana lebih tradisional serta berkonsep kolaborasi. Bagi saya itu sesuatu yang baik kerana setiap lagu ada peminatnya sendiri.”
Secara peribadi, Mazleen berharap “Dendang Dondang Raya” mampu memberi kegembiraan kepada pendengar setiap kali menjelang Aidilfitri.
“Saya harap lagu ini dapat memberi kegembiraan kepada pendengar bila mereka sambut Hari Raya. Kalau lagu ini boleh menjadi salah satu lagu yang dimainkan setiap kali Aidilfitri, itu sudah satu kepuasan besar bagi saya.”
Bercerita tentang sambutan raya tahun ini, Mazleen berkata beliau akan meraikannya bersama keluarga tercinta.
“InsyaAllah tahun ini saya akan beraya bersama keluarga. Bagi saya Aidilfitri memang masa untuk berkumpul dengan orang tersayang. Persiapan seperti biasa kemas rumah, sediakan juadah raya dan paling penting luangkan masa bersama keluarga sambil dengarkan Best FM,” katanya.
Mengimbas perjalanan dirinya dalam industri muzik, Mazleen mengakui banyak perubahan yang berlaku dari dahulu hingga kini.
“Kalau dibandingkan dulu dan sekarang, saya rasa sekarang saya lebih matang dari segi pengalaman dan cara melihat industri muzik. Dulu mungkin lebih fokus kepada perjalanan kerjaya sahaja, tetapi sekarang saya lebih menghargai proses, kerjasama dengan team dan yang paling istimewa sokongan peminat.”
Dengan kolaborasi istimewa bersama Best FM menerusi “Dendang Dondang Raya”, Mazleen berharap lagu tersebut bukan sahaja memeriahkan Aidilfitri tahun ini, malah mampu menjadi sebahagian daripada kenangan manis raya buat para pendengar pada masa akan datang.
Jangan lupa mendengar Dendang Dondang Raya di BEST FM. Anda juga boleh streaming di semua digital platform. Jadikanlah lagu ini sebagai lagu pilihan anda setiap kali Aidilfitri.

No Comment! Be the first one.