PUTRAJAYA, 7 MAC: Debaran lebih 400,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bakal terlerai tidak lama lagi apabila teka-teki mengenai tarikh pengumuman keputusan peperiksaan itu dijangka terjawab Isnin depan.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad, memaklumkan bahawa Lembaga Peperiksaan (LP) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tarikh sebenar keputusan diumumkan, sekali gus menamatkan spekulasi sama ada ia akan dibuat sebelum atau selepas Aidilfitri.
Menurut beliau, segala persiapan sebenarnya telah siap sepenuhnya, namun pihak kementerian mengambil pendekatan berhati-hati dengan mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak sebelum membuat pengumuman rasmi.
“Sebenarnya semua pihak sudah bersedia, tetapi kita mengambil kira pandangan semua pihak dan menunggu pengumuman daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengenai bila keputusan SPM akan diumumkan,” katanya.
Tambah beliau lagi, pengumuman itu juga mengambil kira suasana bulan Ramadan, yang dianggap sebagai waktu terbaik untuk memanjatkan doa.
“Kita sudah berdoa untuk anak-anak kita kerana Ramadan ini waktu yang paling mustajab untuk doa dikabulkan,” ujarnya.
Pengumuman tarikh rasmi itu dijangka memberi kelegaan besar kepada ibu bapa, guru dan lebih 400,000 calon SPM, yang kini menanti penuh debaran selepas menamatkan peperiksaan penting tersebut.
Malah, keputusan mengenai tarikh pengumuman ini juga penting bagi membolehkan calon merancang langkah seterusnya sama ada untuk melanjutkan pengajian ke universiti, kolej, atau memasuki bidang kemahiran.
No Comment! Be the first one.