Malaysia Tidak Terkecuali, Kesunyian Jejaskan Memori Warga Emas Sekaligus Isyarat Awal Fenomena “Epidemik Sunyi”
Satu kajian antarabangsa terbaru mendapati bahawa perasaan kesunyian boleh memberi kesan negatif terhadap daya ingatan individu berusia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan mental...
Satu kajian antarabangsa terbaru mendapati bahawa perasaan kesunyian boleh memberi kesan negatif terhadap daya ingatan individu berusia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan mental masyarakat global yang semakin terasing.
Kajian yang melibatkan lebih 10,000 responden berusia antara 65 hingga 94 tahun di 12 negara Eropah itu menunjukkan bahawa individu yang berasa sunyi mencatat skor memori yang lebih rendah sejak awal penilaian. Namun, kadar kemerosotan memori mereka didapati tidak lebih cepat berbanding individu yang tidak mengalami kesunyian.
Menurut laporan New York Post, penyelidik menjelaskan bahawa kesunyian mungkin memberi kesan lebih awal dalam kehidupan seseorang, sebelum usia tua, dan berkait rapat dengan faktor lain seperti kemurungan, tekanan darah tinggi serta penyakit kronik.
Walaupun tidak mempercepatkan penurunan kognitif, ianya tetap memberi amaran bahawa kesunyian bukan isu remeh, sebaliknya berpotensi menjejaskan prestasi mental sejak awal lagi.
Malaysia tidak terkecuali: trend bujang dan hidup solo meningkat
Fenomena ini turut relevan di Malaysia apabila trend individu bujang atau tidak berkahwin semakin meningkat, khususnya di kawasan bandar. Malaysia dilaporkan antara yang mencatat peningkatan ketara golongan dewasa yang memilih hidup solo di Asia Tenggara, didorong faktor kerjaya, kos sara hidup, perubahan gaya hidup dan keutamaan peribadi.
Perubahan struktur sosial ini memberi implikasi besar terhadap kesejahteraan emosi. Kajian global menunjukkan individu yang tidak berkahwin atau hidup bersendirian lebih cenderung mengalami kesunyian berpanjangan, sekali gus berisiko terhadap masalah kesihatan mental dan kognitif.
Lebih membimbangkan, kesunyian bukan hanya isu warga emas. Ia boleh bermula sejak usia muda dan memberi kesan jangka panjang sehingga ke usia tua
Kesunyian: isu kesihatan awam yang semakin serius
Pakar menyifatkan kesunyian kini sebagai satu isu kesihatan awam global. Ia bukan sekadar emosi sementara, tetapi berkait dengan pelbagai kesan seperti kemurungan, penyakit kronik dan penurunan fungsi otak. Manakala, dalam konteks masyarakat moden yang semakin individualistik, hubungan sosial semakin longgar—menjadikan ramai individu walaupun dikelilingi orang, tetap berasa terasing.
Kajian tersebut menekankan kepentingan interaksi sosial sebagai pelindung awal kepada kesihatan otak. Aktiviti seperti komuniti, hobi berkumpulan dan hubungan kekeluargaan yang berkualiti boleh membantu mengurangkan risiko kesunyian.
Dalam era digital dan gaya hidup moden, cabaran terbesar bukan lagi kekurangan manusia di sekeliling, tetapi kekurangan hubungan yang bermakna.
Secara kesimpulannya, peningkatan jumlah individu bujang di Malaysia bukan sekadar perubahan demografi, malah, ia juga petanda kepada cabaran emosi dan kesihatan mental yang perlu diberi perhatian serius sebelum menjadi krisis senyap dalam masyarakat.
No Comment! Be the first one.