Johor Singapura Bersaudara: Dalam Rindu, Kita Bertemu
Assalamualaikum, Salam Maju Johor & Salam 14 Syawal 1447H🌙✨ Hari pertama Raya, seperti biasa dimulakan dengan bersalaman bersama keluarga. Bagi Ryn, momen ini cukup berbeza. Tiada lagi mak, abah,...
Assalamualaikum, Salam Maju Johor & Salam 14 Syawal 1447H🌙✨
Hari pertama Raya, seperti biasa dimulakan dengan bersalaman bersama keluarga. Bagi Ryn, momen ini cukup berbeza. Tiada lagi mak, abah, adik kedua dan ibu mertua di sisi. Kini, hanya tinggal ayah mertua sebagai tempat bersandar kasih. Pelukan dan salam itu terasa lebih dalam maknanya.

Selepas itu, langkah diteruskan ke beberapa kunjungan rasmi ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi dan isteri kemudian singgah juga ke Kediaman Rasmi Setiausaha Kerajaan Johor dan Kediaman Rasmi Pegawai Tadbir Negeri Johor.

Alhamdulillah! Suasana penuh mesra, ukhuwah terjalin, Syawal dirai dengan penuh hormat dan adab. Namun dalam kemeriahan, Ryn sekeluarga tidak lupa menziarahi pusara arwah abah, arwah mak dan arwah ibu mertua. Di situlah, doa dipanjatkan, rindu diluahkan dalam diam. Syawal tanpa mereka, tetap terasa hadir, cuma dengan cara yang berbeza.

Raya kedua pula, perjalanan diteruskan ke Kota Singapura bertemu ahli keluarga di sana. Gelak tawa, cerita lama mengubat rindu yang lama terpendam. Juadah raya yang istimewa jarang ada di Johor Bahru turut disediakan ibu-ibu saudara buat anak saudara dan keluarga tersayang.

Dan keesokan harinya, barulah Ryn sekeluarga beraya sekitar Daerah Johor Bahru dengan menyantuni sahabat dan kenalan, dari satu rumah ke satu rumah. Sehari cukuplah dengan dua rumah berhari raya.

Tahun ini, Syawal Ryn cukup meriah. Namun dalam meriah itu, tetap ada kesederhanaan yang dijaga.
Kerana bagi Ryn, bukan kemewahan yang dicari tetapi keikhlasan, kasih sayang dan keberkatan dalam setiap langkah raya ini. Rezeki turut dikongsi bersama ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai dan sesiapa sahaja yang mengenali diri ini.

Syawal ini mengajar Ryn bahawa kebahagiaan itu bukan hanya pada kemeriahan, tetapi pada setiap momen yang kita hargai. Pada tangan yang kita salami, pada rumah yang kita kunjungi dan pada doa yang kita kirimkan buat mereka yang telah pergi.
Walau ada kekosongan yang tak mungkin terisi, namun kasih dan kenangan tetap hidup dalam hati menjadi penguat untuk terus melangkah.

Dari Johor ke Singapura, dari tawa ke air mata, semuanya bersatu dalam satu rasa, indahnya beraya bersama keluarga tercinta, dirai penuh syukur dan bahagia.
Jumpa lagi di blog akan datang…Jom beraya! Jom jom jom raya dengan Dj Ryn.
No Comment! Be the first one.